Rabu, 13 April 2022 | 5:52pm
Pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat bergelimpangan di seberang jalan ketika mereka tiba di lokasi nahas, kata pegawai penyelamat. - Foto AFP
Pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat bergelimpangan di seberang jalan ketika mereka tiba di lokasi nahas, kata pegawai penyelamat. - Foto AFP

Trak terbabas ke gaung, 16 terkorban

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban dan berpuluh lagi cedera selepas sebuah trak yang menuruni gunung terpencil di wilayah Papua Barat Indonesia terjatuh ke dalam gaung.

Menurut polis trak itu, membawa 28 penumpang dan pemandu, sedang menuju ke sebatang jalan di pergunungan Arfak ke ibu kota wilayah Manokwari pada kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan apabila pemandu hilang kawalan dan terbabas.

"Kami mengesyaki trak itu mengalami masalah brek menyebabkan tayar tiada cengkaman dan pemandu hilang kawalan," kata Timbalan Ketusa Unit Trafik, Andre Manuputty, kepada stesen televisyen tempatan Metro TV.

"Pasukan mencari dan menyelamat tiba di tempat kejadian dua jam selepas menerima laporan mengenai nahas itu, dan melihat beberapa mayat bergelimpangan di jalan, tercampak keluar dari trak akibat rempuhan itu," kata pegawai penyelamat tempatan Monce Bruriy kepada Metro TV.

"Seorang kanak-kanak adalah antara yang terbunuh, manakala 13 yang lain cedera dan menerima rawatan di hospital tempatan," kata Manuputty.

"Sebahagian daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal," katanya sambil menambah bahawa jalan itu amat berbahaya kerana kecuramannya dan ketiadaan pencahayaan yang baik di kawasan berkenaan.

Kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian adalah perkara biasa di negara kepulauan yang mempunyai 270 juta orang itu, yang mana kenderaan digunakan usang atau tidak diselenggara dengan baik, dan mereka sering mengabaikan peraturan jalan raya secara rutin.

Pada Februari lalu, 13 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera selepas bas persiaran yang membawa pekerja kilang ke percutian pantai terhempas di pulau Jawa Indonesia.

Pada Mac 2021, sebuah bas yang membawa berpuluh-puluh penumpang terjunam ke dalam gaung di wilayah Jawa Barat, mengorbankan 29 orang. - AFP

Berita Harian X