Sabtu, 2 April 2022 | 5:12pm
Suasana di Pekan Wang Pracan, Satun yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis. Kumpulan pemisah di selatan Thailand sedia hentikan keganasan ketika Ramadan. - Foto BERNAMA
Suasana di Pekan Wang Pracan, Satun yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis. Kumpulan pemisah di selatan Thailand sedia hentikan keganasan ketika Ramadan. - Foto BERNAMA

Rundingan damai keganasan di Selatan Thailand makin positif

BANGKOK: Kerajaan Thailand hari ini memuji 'kemajuan signifikan' dalam rundingan terbaru dengan kumpulan pemisah di selatan Thailand selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan keganasan sepanjang Ramadan ini.

Delegasi kerajaan Thailand dan wakil kumpulan pemberontak utama, Barisan Revolusi Nasional (BRN), bertemu secara bersemuka awal minggu ini di Malaysia dalam pusingan terbaru rundingan selepas dialog damai disambung semula pada Januari lalu, selepas ia terhenti selama dua tahun akibat wabak COVID-19.

Lebih 7,300 orang terbunuh dalam siri keganasan oleh kumpulan pemisah di wilayah Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla sejak 2004 dengan majoriti penduduknya beragama Islam dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Dalam satu kenyataan, BRN berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan keganasan sepanjang Ramadan, iaitu dari 3 April hingga 14 Mei, untuk 'mewujudkan suasana yang selamat dan sejahtera' untuk masyarakat sebagai proses 'pembinaan keyakinan' bagi mewujudkan keamanan yang dihasratkan'.

Thailand dalam satu kenyataan, berkata penciptaan 'persekitaran yang kondusif ke arah keamanan' ketika Ramadan membolehkan orang ramai 'selamat menjalankan amalan agama mereka' dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap dialog damai itu.

Kerajaan Thailand turut memberitahu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja bersama dalam tiga bidang termasuk pengurangan keganasan, perundingan awam dan penyelesaian politik.

Kumpulan pemisah itu menuntut kemerdekaan untuk wilayah dihuni majoriti Melayu beragama Islam, yang menjadi sebahagian daripada pemerintahan kesultanan Patani pada 1909.

Sejak sekian lama puak pemisah menyifatkan orang Melayu beragama Islam di wilayah itu sudah diasimiliasikan secara paksa oleh Thailand dan menuduh pasukan keselamatan Thai melakukan kekejaman ketika itu.

Kerajaan Thailand turut mempertahankan operasinya di kawasan itu.

Rundingan di antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak bermula pada 2013, bagaimanapun ia sering tergendala. Pusingan terbaru rundingan berkenaan dimulakan semula pada 2019, yang membawa kepada rundingan damai rasmi dengan dibantu oleh Malaysia pada awal 2020, tetapi rundingan berkenaan tergantung susulan pandemik COVID-19. - REUTERS

Berita Harian X