Rabu, 23 March 2022 | 7:40am
Pelajar memegang belon putih sebagai tanda melawan keganasan di selatan Thailand. - Foto AFP
Pelajar memegang belon putih sebagai tanda melawan keganasan di selatan Thailand. - Foto AFP

Thailand tangani kenaikan harga tenaga

BANGKOK: Kabinet Thailand meluluskan beberapa langkah bantuan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak berikutan konflik Russia dan Ukraine, termasuk memperkenal subsidi minyak, gas memasak dan elektrik.

Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha, berkata kabinet meluluskan 10 jenis bantuan yang akan dilaksanakan dari Mei hingga Julai untuk menangani kenaikan harga tenaga.

Di bawah langkah bantuan itu, harga diesel akan dihadkan pada 30 baht seliter sehingga akhir April dan selepas itu, kerajaan akan memberi subsidi 50 peratus daripada sebarang kenaikan harga.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan subsidi bulanan sebanyak 100 baht bantuan tunai untuk gas memasak kepada 3.6 juta pemegang kad kebajikan.

Bil elektrik akan dikurangkan di antara Mei dan Ogos, bagi penggunaan tidak melebihi 300 unit sebulan.

Prayuth berkata, kerajaan memantau keadaan dan berusaha mencari jalan untuk meringankan beban rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

"Kemeruapan harga dalam pasaran tenaga berikutan konflik Ukraine dan Russia menyebabkan peningkatan harga pengeluaran, pengangkutan barang dan perkhidmatan, selain kos sara hidup," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet semalam.

Langkah lain yang diumumkan termasuk 157,000 pemandu teksi motosikal akan diberi 250 baht sebulan untuk subsidi bahan api dan harga gas asli kenderaan dihadkan pada kira-kira 15.6 baht sekilogram.

Sementara itu, kira-kira 5,500 penjaja yang juga pemegang kad kebajikan akan menerima diskaun 100 baht untuk gas memasak.

Kadar caruman majikan dan pekerja kepada tabung keselamatan sosial pula diturunkan kepada satu peratus, berbanding lima peratus.

Prayuth turut mengarahkan Kementerian Pertanian dan Koperasi serta Kementerian Perdagangan memberi bantuan kepada petani sebelum musim penanaman, ekoran peningkatan kos baja serta makanan haiwan.

"Saya juga mengarahkan Kementerian Luar menyelaras dengan negara lain untuk mendapatkan baja dan bekalan lain," katanya. – BERNAMA

Selatan Thailand seperti Narathiwat menjadi penempatan kebanyakan penduduk Islam dan tumpuan rakyat Malaysia yang ingin berpoligami di luar kariah. - Foto hiasan AFP
Selatan Thailand seperti Narathiwat menjadi penempatan kebanyakan penduduk Islam dan tumpuan rakyat Malaysia yang ingin berpoligami di luar kariah. - Foto hiasan AFP

Berita Harian X