Isnin, 21 March 2022 | 1:53pm
Penduduk Thailand memberi sampel calitan COVID-19 bagi ujian antigen di pusat ujian yang baharu dibuka susulan peningkatan kes coronavirus di Bangkok, Thailand. - Foto EPA
Penduduk Thailand memberi sampel calitan COVID-19 bagi ujian antigen di pusat ujian yang baharu dibuka susulan peningkatan kes coronavirus di Bangkok, Thailand. - Foto EPA

Kerajaan Thailand gesa orang ramai dapatkan dos penggalak COVID-19

THAILAND: Jurucakap Kerajaan Thailand, Thanakorn Wangboonkongchana, berkata negara itu menyasarkan pemberian suntikan dos penggalak kepada lebih 70 peratus penduduknya, sebelum COVID-19 diisytiharkan sebagai endemik.

Beliau berkata, suntikan penggalak diperlukan jika orang ramai ingin hidup bersama coronavirus dengan selamat, selain tidak ramai orang di Thailand sudah mengambil dos penggalak.

Katanya, Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha, sudah menyatakan kebimbangan terhadap warga emas, kanak-kanak dan penghidap penyakit kronik yang boleh mengalami gejala teruk jika dijangkiti.

"Prayut mencadangkan sukarelawan kesihatan kampung di seluruh negara secara aktif mencari kaedah bagi menggalakkan penduduk tempatan, terutamanya golongan berisiko tinggi, mendapatkan dos penggalak supaya sasaran 70 peratus dicapai.

"Lebih 126.9 juta dos vaksin COVID-19 diberikan dari Februari 2021 hingga Khamis lalu, masing-masing 20.2 juta adalah dos penggalak, manakala 54.7 juta dos pertama, 50 juta dos kedua dan 1.9 suntikan keempat," katanya.

Thailand setakat ini mencatatkan 1,079,734 kes kumulatif COVID-19 dan 2,377 kematian.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam akan memulakan projeknya untuk memberi dos penggalak kepada warga emas dan individu berisiko tinggi lain dari 21 hingga 31 Mac ini.

Ia adalah sebahagian usaha mencegah kemungkinan penularan coronavirus selepas pesta Songkran, yang akan disambut pada pertengahan April depan.

Jutaan dijangka pulang ke kampung halaman mereka semasa cuti 13 hingga 17 April depan untuk melawat keluarga, pergerakan yang dikhuatiri mencetuskan penularan teruk bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam pada itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) turut melancarkan vaksinasi warga emas dari 21 hingga 31 Mac ini.

Pihak berminat mendapatkan suntikan COVID-19 boleh menghubungi pusat kesihatan awam terdekat, hospital kendalian BMA di bandar itu atau membuat tempahan melalui aplikasi mudah alih QueQ. - AGENSI

Berita Harian X