Jumaat, 18 March 2022 | 9:39pm
Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn. - Foto AGENSI
Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn. - Foto AGENSI

Wakil ASEAN berkunjung Myanmar minggu depan

PHNOM PENH: Seorang wakil khas Asia Tenggara akan melawat Myanmar minggu depan untuk meletakkan asas bagi proses damai selepas pemerintah junta tentera dituduh menangguhkan proses itu.

Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, selaku wakil ASEAN, mahu ketua tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, komited untuk menamatkan permusuhan susulan rampasan kuasa pada Februari tahun lalu.

ASEAN sebelum ini melarang Myanmar daripada sidang kemuncak serantau sejak akhir tahun lalu dan beberapa negara anggota menegaskan mereka mesti kekal diketepikan sehingga kata sepakat dicapai

Antara tuntutan utama ialah membenarkan akses wakil ASEAN kepada semua pihak yang terbabit dalam pertelagahan kali ini termasuk pemimpin awam yang digulingkan, Aung San Suu Kyi.

Jurucakap Kementerian Luar Kemboja, Chum Sounry, berkata ia akan menjadi lawatan pertama wakil khas ke Myanmar, bertujuan memuktamadkan usaha menamatkan keganasan dengan semua pihak menahan diri.

Katanya, kini bukan masa yang sesuai untuk menyatakan siapa yang akan ditemui Prak Sokhonn pada pertemuan antara 21 hingga 23 Mac, yang bertujuan untuk menggalakkan dialog dan perundingan politik.

"Tidak dinafikan bahawa ia akan berlanjutan dengan pelbagai cabaran untuk mencapai matlamatnya tetapi perjalanan yang panjang perlu dimulakan dengan langkah pertama," katanya.

Perkara itu timbul seminggu selepas laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan tentera Myanmar bertanggungjawab terhadap penderaan sistematik, kebanyakannya ditakrifkan sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Junta Myanmar tidak memberi sebarang komen, namun menyalahkan PBB kerana campur tangan dan tidak menjawab mengenai lawatan wakil itu.

Antara tuduhan PBB termasuk pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan, keganasan seksual dan sasaran yang disengajakan terhadap orang awam dalam serangan udara. - REUTERS

Berita Harian X