Khamis, 10 March 2022 | 10:20am
Ahli Parlimen Thailand, Watana Muangsook, dihukum penjara 99 tahun kerana rasuah. - Foto REUTERS
Ahli Parlimen Thailand, Watana Muangsook, dihukum penjara 99 tahun kerana rasuah. - Foto REUTERS

Ahli Parlimen Thailand dipenjara 99 tahun kerana rasuah

BANGKOK: Seorang Ahli Parlimen Thailand, Watana Muangsook, dijatuhkan hukuman penjara selama 99 tahun atas kesalahan rasuah berkaitan projek perumahan kira-kira 20 tahun lalu.

Mahkamah Agung Thailand, pada September 2020 mendapati Watana, 64, bersalah atas 11 tuduhan rasuah, yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 99 tahun dan rayuan terakhirnya ditolak baru-baru ini.

Bagaimanapun, Menurut laporan Bangkok Post, undang-undang Thailand hanya membenarkan hukuman penjara maksimum sehingga 50 tahun.

Watana, yang pernah menyertai parti politik Pheu Thai dan pernah menjadi Menteri Kabinet, turut didakwa atas kesalahan penyalahgunaan kuasa.

Pada 2003, dia terbabit dalam projek perumahan kos rendah Ua Athorn yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Thailand ketika itu, Thaksin Shinawatra.

Kabinet meluluskan peruntukan berjumlah satu bilion baht (RM126 juta) bagi projek bernilai 2.5 bilion baht (RM316 juta) itu.

Projek terbabit merangkumi pembinaan pangsapuri kos rendah dan perumahan di seluruh Thailand, dengan setiap unit dijual pada harga antara 400,000 hingga 700,000 baht (RM50,600-RM88,600).

Pada 2006, selepas tentera mengambil alih pentadbiran negara dan menumbangkan kepemimpinan Thaksin, Jawatankuasa Penilaian Aset Thailand menyiasat dakwaan terhadap salah laku kerajaan.

Jawatankuasa mendapati sebanyak 82.6 juta baht (RM10.4 juta) dibayar kontraktor kepada Watana melalui akaun bank perniagaan milik Apichart Chansakulporn dan kes diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan.

Pada 2016, suruhanjaya memutuskan untuk menghantar kes Watana dan 13 kes lain ke Pejabat Peguam Negara, yang mengesyorkan dia dituduh bagi kelahan di bawah Kanun Jenayah. - AGENSI

Berita Harian X