Selasa, 8 March 2022 | 8:12pm
Saintis Thailand sedang membangunkan semburan hidung bantu cegah COVID-19. - Foto AGENSI
Saintis Thailand sedang membangunkan semburan hidung bantu cegah COVID-19. - Foto AGENSI

Thailand bakal lancar semburan hidung bantu cegah COVID-19

BANGKOK: Alat Semburan hidung buatan Thailand untuk membantu mencegah COVID-19 dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar, Natapanu Nopakun, berkata alat itu dibangunkan hasil kerjasama Universiti Chulalongkorn, Universiti Silpakorn, Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (HSRI), Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) dan sebuah syarikat biosains swasta.

Beliau berkata, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) alat itu sudah bermula sejak pandemik melanda dua tahun lalu, dengan dibiayai sektor perniagaan dan HSRI yang dikendalikan kerajaan.

Prototaip antibodi untuk alat itu sudah pun diperoleh dan seterusnya akan dipatenkan.

"Kini, teknologi itu telah dipindahkan ke sektor swasta. Penyelidikan klinikal telah dijalankan untuk memenuhi piawaian yang diperlukan untuk pendaftaran dengan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) negara pada Jun.

"Alat itu dijangka tersedia untuk dijual pada suku ketiga tahun ini," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini, hari ini.

Natapnu berkata, perjanjian kerjasama telah dimeterai untuk mengeluarkan semburan hidung anti-COVID-19 dan ia tertakluk untuk penyelidikan global.

Minggu lalu, timbalan jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek, berkata lebih 20 vaksin COVID-19 sudah pun dikaji dan dibangunkan oleh agensi negeri, universiti dan syarikat sejak pandemik bermula.

Beliau berkata, empat vaksin COVID-19 yang dibangunkan secara tempatan dan alat semburan hidung akan didaftarkan dengan FDA Thailand tidak lama lagi. - BERNAMA

Berita Harian X