Ahad, 6 March 2022 | 8:38pm
Pelarian Rohingya berehat di perkarangan sebuah masjid di Bireuen, Aceh di Indonesia. - Foto AFP
Pelarian Rohingya berehat di perkarangan sebuah masjid di Bireuen, Aceh di Indonesia. - Foto AFP

Bot bawa pelarian Rohingya mendarat di Indonesia

BIREUN: Sebuah bot membawa lebih seratus pelarian Rohingya termasuk puluhan kanak-kanak mendarat di pantai barat wilayah Acheh awal pagi tadi, kata polis.

Bot yang berlayar dari sebuah kem Rohingya di Bangladesh itu tiba kira-kira jam 3 pagi tadi di sebuah pantai dekat daerah Bireun.

Polis mengesahkan bot itu membawa 114 orang termasuk 58 lelaki, 21 wanita dan 35 kanak-kanak berumur bawah 15 tahun.

"Kita akan menjalankan pemeriksaan kesihatan awam dan ujian antigen pantas (RTK) terhadap warga asing ini," kata ketua polis tempatan, Mike Hardy Wirapraja kepada AFP.

Kata beliau, mereka kemudian akan dibawa ke daerah jiran, Lhokseumawe, yang mempunyai sebuah pusat perlindungan untuk pelarian.

Polis mengetahui mengenai ketibaan pelarian itu selepas beberapa nelayan tempatan melaporkan sebuah bot mengandungi etnik Rohingya mendarat dekat pantai.

Bot berkenaan kelihatan dalam keadaan baik dan pelarian mempunyai bekalan serta makanan mencukupi semasa pelayaran.

"Kami asal dari Myanmar tetapi melarikan diri ke Bangladesh dan kami memulakan perjalanan dari Bangladesh," kata seorang pelarian, Omar Faruk, kepada wartawan AFP.

Pelarian itu mendakwa kumpulan terbabit sudah berlayar selama 25 hari.

"Kami meninggalkan Bangladesh kerana keadaan orang Rohingya di kem berkenaan tidak baik, ia menjadi lebih teruk ketika ini," kata seorang kanak-kanak pelarian berumur 11 tahun dalam bahasa Inggeris.

Menurut Faruk, dia meninggalkan ibunya di Bangladesh dan mengikuti pakciknya untuk memulakan hidup baharu, dengan memilih negara majoriti Islam seperti Indonesia atau Malaysia.

Itu adalah ketibaan kedua etnik minoriti teraniaya di Indonesia sejak beberapa bulan lalu.

Lebih 100 pelarian Rohingya tiba di Bireun sejak Disember lalu, selepas belayar beberapa bulan di lautan, sebelum kerajaan Indonesia akhirnya membenarkan mereka mendarat dan menunda bot mereka ke pantai. - AFP

Berita Harian X