Khamis, 24 Februari 2022 | 12:28pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

10 kanak-kanak Singapura alami kesan sampingan serius selepas divaksin

SINGAPURA: Sejumlah 10 kes kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun mengalami kesan sampingan serius selepas divaksinasi, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam laporan terkini mengenai vaksin semalam.

Laporan terbaru itu berbeza daripada laporan sebelum ini, di mana tiada kes dilaporkan.

Kesan sampingan serius termasuk sawan, apendiks, kemerosotan pada tekanan darah, alahan, fungsi ginjal tidak normal dan saluran darah kecil yang bengkak.

Tiada kes myokarditis atau perikarditis, dua keadaan jantung berkaitan yang ada kalanya dilaporkan selepas vaksinasi, dalam kalangan kanak-kanak setakat ini, kata HSA.

Dalam laporan terkini semalam, yang merangkumi kes sehingga 31 Januari, HSA menyatakan terdapat 280 kes kesan sampingan tidak serius dilaporkan bagi kumpulan usia itu berbanding enam sebelum ini.

Kesan sampingan yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak termasuk bengkak pada muka, demam, ruam, ketidakselesaan pada dada, rasa berdebar-debar dan tidak cukup nafas.

Kadar kejadian sama seperti yang berlaku dalam kalangan belia dan orang dewasa, dengan reaksi tidak serius berlaku dalam 0.12 peratus dos yang diberikan dan reaksi serius dilihat dalam 0.004 peratus dos.

Singapura memperkenalkan program vaksinasi bagi kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun pada 27 Disember tahun lalu.

Sejumlah 238,253 dos sudah pun diberikan kepada kumpulan itu sehingga 31 Januari dan menurut HSA, vaksinasi mungkin bukan sebab masalah perubatan dalam setiap kes.

"Ini mungkin mempunyai kaitan kepada penyakit sedia ada atau tidak didiagnos atau mungkin secara kebetulan ia berlaku pada masa yang sama vaksin diberikan."

Laporan HSA itu turut memberikan perkembangan terkini mengenai dos penggalak, dan menambah bahawa tiada kenaikan dari segi kadar kesan sampingan dalam kalangan lebih 3.19 juta dos penggalak yang diberikan.

HSA menerima 553 laporan laporan kesan sampingan teruk berkaitan dengan suntikan penggalak bagi vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan lagi 289 laporan berkaitan dengan vaksin Moderna/Spikevax.

Terdapat 73 laporan kesan sampingan teruk di mana 15 kes adalah myokarditis dan perikarditis.

Sehingga akhir Januari, Singapura memberikan 9.8 juta dos vaksin Pfizer dan terdapat 12, 770 laporan kesan sampingan tidak serius serta 664 laporan yang serius.

Singapura juga melakukan 2.9 juta dos vaksin Moderna dengan 2,885 laporan kesan sampingan tidak serius dan 156 laporan yang serius.

Laporan itu turut memberi perkembangan terkini terhadap suntikan bukan mRNA, seperti vaksin Sinovac-Corona dan vaksin Sinopharm, yang mana Singapura sudah melakukan 369,083 dos vaksin Sinovac sejauh ini.

Terdapat 299 laporan kesan sampingan tidak serius dan 22 laporan serius. - AGENSI

Berita Harian X