Jumaat, 18 Februari 2022 | 7:39am
Seorang wanita menunggu ketibaan penumpang suaminya di Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat) di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru. - Foto NSTP
Seorang wanita menunggu ketibaan penumpang suaminya di Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat) di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru. - Foto NSTP

Hampir 40,000 tiket VTL Darat dijual di Singapura

SINGAPURA: Hampir 40,000 tiket di bawah skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat) antara Singapura dengan Malaysia dijual semalam dan kelmarin.

Salah satu operator bas berkata kesemua tiket yang sedia ada hingga 21 Mac habis dijual, selepas kuota bagi perjalanan itu dikembalikan mulai 22 Februari.

Transtar Travel dari Singapura mula menjual tiket VTL Darat tambahan bagi perjalanan antara 22 Februari dengan 21 Mac mulai jam 6 petang kelmarin.

Menjelang jam 8 malam kelmarin, sekitar 40 peratus tiket dijual dan kesemuanya dijual menjelang tengah malam, kata seorang jurucakap operator itu kepada akhbar The Straits Times.

Syarikat itu buat masa ini menyediakan 24 khidmat bas VTL Darat antara Woondlands ke Larkin Sentral di Johor Bahru setiap hari, dengan 12 perjalanan bagi setiap hala.

Ia akan ditambah kepada 48 perjalanan secara keseluruhannya mulai 22 Februari, dengan setiap bas boleh menampung hingga 45 penumpang.

Sementara itu, operator bas Malaysia, Causeway Link, mula menjual tiket VTL Darat tambahan dari jam 10 pagi semalam tetapi hanya untuk perjalanan antara 22 Februari hingga 28 Februari.

Kata jurucakap syarikat itu, semua 7,560 tiket sudah dijual sekitar jam 11.30 pagi dan tiket VTL Darat tambahan bagi Mac akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Kami perlu memperbaiki sistem tempahan kami sebelum kami mengeluarkan tiket bagi Mac," katanya.

Syarikat terbabit buat masa ini mengendalikan 30 khidmat bas antara Queen Street dengan Larkin Sentral setiap hari dan akan dikembalikan kepada 60 perkhidmatan mulai 22 Februari.

Penjualan tiket VTL Darat tambahan menerima sambutan luar jangkaan dengan kebanyakan pengunjung yang ingin membelinya menyuarakan rasa marah di media sosial kerana menunggu lama akibat kesilapan sistem.

Ada juga yang mendakwa kegiatan 'ulat tiket' berleluasa di mana tiket dibeli dan dijual semula pada harga lebih tinggi menerusi e-dagang, dengan gambar tiket bas dipaparkan dengan tanda harga SGD$100 (RM312).

Tiket bas bagi orang dewasa biasanya berharga SGD$15 (RM46.80) di Singapura dan RM20 di Malaysia.

Apabila skim VTL Darat mula dilancarkan pada 29 November tahun lalu, sehingga 2,880 pengunjung dibenarkan menyeberangi Tambak Johor dengan menggunakan bas khusus setiap hari.

Kadar penumpang ditambah kepada 4,320 orang tetapi mulai 22 Disember hingga 20 Januari, jualan tiket baru digantung dan kuota dipotong separuh bagi perjalanan mulai 21 Januari, bagi membendung penularan varian COVID-19 Omicron.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata ia mengembalikan kuota VTL Darat kerana kes import coronavirus kini tidak mungkin menjejas trajektori jangkitan tempatan.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong, berkata langkah sempadan bagi pengunjung VTL Darat juga dikemaskinikan.

"Singapura kini dalam perbincangan bersama Malaysia untuk memperluas skim VTL Darat merangkumi kenderaan swasta dan bas pesiaran," katanya yang juga Pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian menangani COVID-19.

Sebelum sempadan ditutup pada Mac 2020, sekitar 415,000 orang menyeberangi tambak di Woodlands dan Laluan Kedua Tuas setiap hari. - AGENSI

Berita Harian X