Khamis, 17 Februari 2022 | 11:04am
Jet pejuang F-35 buatan Lockheed Martin. - Foto REUTERS
Jet pejuang F-35 buatan Lockheed Martin. - Foto REUTERS

Pembelian jet F-35 Thailand bergantung pada kelulusan AS

SINGAPURA: Hasrat Thailand untuk membeli jet pejuang F-35 buatan Lockheed Martin bergantung kepada kebenaran kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Naib Presiden Kanan Perniagaan Global gergasi pertahanan itu, Tim Cahill, semalam mengesahkan bahawa Thailand berminat untuk membeli jet pejuang berkenaan.

Bercakap kepada pemberita ketika Pertunjukan Udara Singapura, beliau mengakui tiada perjanjian rasmi dibuat setakat ini berhubung pembelian terbabit.

Terdahulu, Ketua Marsyal Udara Thailand, Napadej Dhupatemiya, berkata Januari lalu tentera udara negara Asia Tenggara itu memperuntukkan AS$413 juta (RM1.7 bilion) bagi pembelian empat jet pejuang.

Malah, tambah beliau, Thailand berminat untuk membeli sehingga lapan jet pejuang.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada dasar kerajaan AS dan tidak dipastikan apa keputusan yang akan dimuktamadkan.

Seorang jurucakap Jabatan Negara AS berkata beliau tidak dapat mengesahkan atau mengulas mengenai cadangan jualan itu sehingga Kongres AS dimaklumkan secara rasmi.

Jet F-35 adalah antara pesawat juang paling canggih di dunia dan dianggap barangan 'amat sensitif' untuk dieksport serta hanya dijual kepada sekutu rapat AS.

Di rantau Indo-Pasifik, hanya Australia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura memiliki jet berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X