Rabu, 16 Februari 2022 | 12:58pm

Singapura lapor 19,420 kes baharu COVID-19

SINGAPURA: Singapura melaporkan 19,420 kes baharu COVID-19, semalam, membabitkan 19,179 penularan tempatan dan 241 kes import.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan (MOH) melalui laman web rasminya, tujuh kematian akibat virus itu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Sementara itu, The Straits Times pula melaporkan republik ini mencatat angka harian tertinggi sejak wabak berkenaan melanda pada Januari 2020.

Sejak 28 hari lalu, data merekodkan 99.7 peratus daripada 191,882 pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala atau mengalami simptom ringan.

Jumlah jangkitan COVID-19 kini mencecah 497,997 kes, dengan 913 kematian.

Dalam perkembangan berkaitan, MOH memaklumkan bagi mengurangkan tekanan terhadap klinik serta poliklinik Pengamal Perubatan Am (GP) pula, individu yang positif ujian kendiri tanpa sebarang simptom (PERSONS) boleh membuat temu janji di mana-mana Pusat Ujian Gabungan (CTC) atau Pusat Ujian Pantas (QTC) bagi menjalani Ujian Pantas Antigen kendiri dan dipantau kementerian (ART), mulai hari ini hingga 15 Mac depan.

"Kami akan membuka 48 pusat untuk permulaan, sebelum memperluaskannya menjadi 205 pusat pada akhir minggu ini.

"Kerajaan akan membiayai ART sepanjang tempoh empat minggu ini," menurut kementerian itu lagi.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, klinik GP, poliklinik dan hospital terus merekodkan peningkatan bilangan pesakit yang kebanyakannya tanpa gejala atau bergejala ringan.

Jabatan Kecemasan hospital turut merekodkan kehadiran pesakit yang tidak memerlukan bantuan perubatan kecemasan.

"Kunjungan pesakit terbabit adalah tidak perlu, dan berisiko menjejaskan kuota mereka yang benar-benar memerlukan rawatan perubatan," menurut kementerian.

Orang ramai boleh menempah ART melalui https://go.gov.sg/community-ART-test.

Setakat kelmarin, sebanyak 90 peratus rakyat Singapura sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19, dan 64 peratus menerima dos penggalak.

Kelmarin, Singapura turut mengumumkan vaksin Nuvaxovid oleh Novavax, akan digunakan ke atas individu berumur 18 tahun dan ke atas, sebagai vaksin primer COVID-19 serta penggalak bagi menjayakan Program Vaksinasi Kebangsaan. – BERNAMA

Berita Harian X