Ahad, 13 Februari 2022 | 4:46pm
Pil oral antivirus buatan Pfizer Inc, Paxlovid, bagi rawatan COVID-19. - Foto REUTERS
Pil oral antivirus buatan Pfizer Inc, Paxlovid, bagi rawatan COVID-19. - Foto REUTERS

Penghantaran pertama pil oral Pfizer tiba di Singapura

SINGAPURA: Penghantaran pertama pil oral antivirus Pfizer, Paxlovid, akan tiba di Singapura pada minggu ini, kata Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung.

Ia adalah ubat anti-virus oral pertama yang diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk merawat jangkitan COVID-19 di republik itu.

Ye Kung berkata keutamaan adalah bagi golongan berisiko tinggi mendapat penyakit COVID-19 yang teruk, sekali gus mengurangkan kemasukan ke hospital.

"Dengan lebih banyak pilihan rawatan, kami kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk menyediakan penjagaan yang baik kepada rakyat Singapura yang dijangkiti virus ini," katanya dalam catatan di Facebook.

Ubat itu perlu diambil dua kali sehari selama lima hari dan harus diberikan secepat mungkin dalam tempoh lima hari dari permulaan simptom COVID-19.

Menurut HSA, semakan data klinikal mendapati ia boleh mengurangkan kemasukan ke hospital atau kematian berkaitan COVID-19 sebanyak 88.9 peratus apabila diberikan dalam tempoh tiga hari dari permulaan simptom.

Kadar itu berkurangan kepada 87.8 peratus apabila diberikan dalam tempoh lima hari selepas gejala muncul.

HSA menyatakan bilangan kes dengan kesan sampingan adalah sangat rendah dan kebiasaannya kesan yang dialami ialah seperti perubahan deria rasa, cirit-birit, muntah, hipertensi, sakit otot dan menggigil.

"Paxlovid mungkin berinteraksi dengan pelbagai ubat seperti ubat untuk degupan jantung yang tidak teratur, migrain dan kolesterol, yang membawa kepada kesan sampingan serius," menurutnya.

Negara seperti Korea Selatan, Britain dan Israel sudah mula memberikan Paxlovid kepada pesakit coronavirus mulai bulan ini dan China juga meluluskannya untuk kegunaan kecemasan.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) juga sudah meluluskannya bersama-sama dengan Molnupiravir. - AGENSI

Berita Harian X