Sabtu, 12 Februari 2022 | 4:36pm
Sanak saudara mengerumuni bas meninggalkan Penjara Insein membawa banduan yang diberi pengampunan oleh junta tentera sempena Hari Penyatuan di Yangon, Myanmar. - Foto EPA
Sanak saudara mengerumuni bas meninggalkan Penjara Insein membawa banduan yang diberi pengampunan oleh junta tentera sempena Hari Penyatuan di Yangon, Myanmar. - Foto EPA

Junta tentera Myanmar bebaskan lebih 800 banduan

YANGON: Junta tentera Myanmar hari ini mengumumkan pengampunan kepada lebih 800 banduan sempena sambutan Hari Penyatuan negara itu, ketika perarakan ketenteraan diadakan di ibu negara.

Perintah pengampunan kali ini bagi memperingati ulang tahun ke-75 Hari penyatuan dikeluarkan oleh Ketua Junta, Min Aung Hlaing, yang juga satu tradisi ketika sambutan acara tertentu, kepada 814 banduan.

Jurucakap junta, Zaw Min Tun, berkata kebanyakan banduan adalah dari penjara di hab komersial Yangon.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada ahli akademik Australia yang ditahan selama lebih setahun, Sean Turnell, adalah antara mereka yang dibebaskan.

Turnell, seorang profesor ekonomi Australia, bekerja sebagai penasihat kepada bekas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, apabila dia ditangkap Februari lalu, hanya beberapa hari selepas rampasan kuasa tentera.

Dia didakwa melanggar undang-undang rahsia rasmi Myanmar dan berdepan hukuman penjara maksimum 14 tahun jika didapati bersalah.

Menurut pejabat Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), negara yang bergolak sejak rampasan kuasa tahun lalu dengan protes besar-besaran dan tindakan keras tentera mengakibatkan lebih 1,500 orang awam maut.

Dalam ucapan Aung Hlaing semasa perarakan Hari Penyatuan, beliau mengulangi dakwaan tentera mengenai penipuan besar-besaran dalam pilihan raya 2020 yang dimenangi oleh parti Suu Kyi.

Beliau juga menjemput pelbagai pertubuhan bersenjata etnik yang memerangi tentera Myanmar dan sesama mereka selama beberapa dekad untuk mengadakan rundingan damai.

Pada masa yang sama, beliau berkata junta juga akan menghentikan prosiding jenayah yang sedang dijalankan terhadap anggota Tentera Arakan (AA), yang selama bertahun-tahun berperang mendapatkan autonomi bagi penduduk etnik Rakhine. - AFP

Berita Harian X