Khamis, 3 Februari 2022 | 1:43pm
Pasukan keselamatan mengawal jalan raya berhampiran Pagoda Sule berikutan penyokong junta tentera mengadakan demonstrasi di Yangon. - Foto EPA
Pasukan keselamatan mengawal jalan raya berhampiran Pagoda Sule berikutan penyokong junta tentera mengadakan demonstrasi di Yangon. - Foto EPA

Wakil bukan politik Myanmar dijemput hadir mesyuarat ASEAN

PHNOM PENH: Menteri Luar Kemboja berkata seorang wakil bukan politik dari Myanmar dijemput menghadiri mesyuarat dengan Menteri Luar Asia Tenggara bulan ini, bukannya dari menteri lantikan junta tentera negara itu.

Jurucakap Kementerian Luar Kemboja, Chum Sounry, berkata anggota ASEAN belum mencapai kata sepakat untuk menjemput Menteri Luar Myanmar, berikutan perkembangan pelan damai pertubuhan itu terhadap Myanmar yang perlahan.

Kemboja adalah Pengerusi ASEAN yang dianggotai 10 negara dan akan menjadi tuan rumah mesyuarat peringkat menteri pada 16 dan 17 Februari ini.

"Sementara itu, kita galakkan Myanmar untuk diwakili oleh seorang penjawat bukan politik berbanding membiarkan kerusi kosong," katanya kepada Reuters sambil menambah terpulang ke negara itu untuk memutuskan siapa wakilnya.

Myanmar dalam krisis sejak tentera merampas kuasa kerajaan pilihan rakyat setahun lalu, dengan kira-kira 1,500 orang awam terbunuh ekoran tindakan keras junta terhadap penentangnya, menurut angka dipetik oleh pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di kawasan luar bandar juga, tentera berperang dengan pelbagai kumpulan pro-demokrasi bersenjata termasuk tentera etnik minoriti.

Dalam satu kenyataan semalam, Kemboja menyuarakan kebimbangan mendalam susulan perkembangan di Myanmar, termasuk laporan berlaku keganasan berterusan dan kemerosotan situasi kemanusiaan.

"Anggota negara ASEAN menggariskan keperluan mendesak memberhentikan keganasan serta-merta dan bagi semua pihak untuk sepenuhnya menahan diri," katanya.

Tindakan ASEAN tahun lalu mencetuskan kejutan apabila menghalang pemimpin junta daripada menghadiri mesyuarat penting berikutan kegagalannya menghormati konsensus keamanan ASEAN.

Pertemuan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dengan ketua tentera Myanmar, Min Aung Hlaing pada 7 Januari lalu umpama memberi satu persepsi kurang baik apabila ada pihak menganggap pertemuan itu kononnya mengiktiraf junta.

ASEAN yang dipengerusikan Hun Sen ketika ini di bawah tekanan untuk mengekalkan Aung Hlaing dalam perjanjian damai ASEAN kerana ada beberapa anggota menuntut pemimpin digulingkan, Aung San Suu Kyi yang sedang berdepan perbicaraan, dibebaskan dan dibenarkan menyertai proses damai. - REUTERS

Berita Harian X