Isnin, 31 Januari 2022 | 7:31pm
Pulau percutian Bali di Indonesia akan mula mengalu-alukan kembali pelancong dari semua negara mulai akhir minggu ini. - Foto AGENSI
Pulau percutian Bali di Indonesia akan mula mengalu-alukan kembali pelancong dari semua negara mulai akhir minggu ini. - Foto AGENSI

Bali dibuka semula kepada pelancong asing

JAKARTA: Pulau percutian Bali di Indonesia akan mula mengalu-alukan kembali pelancong dari semua negara mulai akhir minggu ini, kata pegawai hari ini, lebih tiga bulan selepas mengumumkan ia dibuka kepada warganegara terpilih.

Walaupun Bali secara rasmi dibuka kepada pengunjung dari China, New Zealand, dan Jepun pada pertengahan Oktober, sejak itu tiada penerbangan terus, kata Menteri Pelancongan, Sandiaga Uno dalam satu taklimat.

Pembukaan semula itu berikutan pengumuman serupa oleh Thailand dan Filipina, yang menangguhkan pengecualian kuarantin pada bulan Disember kerana ketidakpastian awal mengenai keberkesanan vaksin terhadap varian Omicron COVID-19.

Keputusan itu dibuat ketika terdapat peningkatan stabil dalam kes COVID-19 di Indonesia bulan ini, walaupun telah berjaya mengawal wabak itu pada separuh kedua tahun lalu.

Pihak berkuasa kesihatan telah mengaitkan peningkatan itu dengan Omicron.

Terkenal dengan luncur air, kuil, air terjun dan hiburan malam, Bali menarik 6.2 juta pelawat asing pada 2019, tahun sebelum COVID-19 melanda, tetapi sekatan sempadan yang ketat ekoran pandemik memusnahkan pelancongan, yang biasanya menyumbang bernilai 54 peratus daripada ekonominya.

Singapore Airlines Jumaat lalu berkata, ia akan menyambung semula penerbangan ke Bali dari Singapura bermula pada 16 Februari.

Menteri Kanan, Luhut Pandjaitan, berkata mulai 4 Februari, pelawat antarabangsa yang telah divaksin COVID-19 masih perlu melakukan kuarantin antara lima hingga tujuh hari.

Minggu lalu, Indonesia membuka dua pulau berdekatan dengan Singapura kepada pengunjung dari negara kota itu.

Menurut Ida Ayu Indah Yustikarini, pegawai di Pejabat Pelancongan Kerajaan Bali, pulau itu telah menerima pelawat asing sejak beberapa bulan lalu melalui ibu kota Jakarta, tetapi tiada angka rasmi jumlah pelawat diperoleh. - REUTERS

Berita Harian X