Sabtu, 29 Januari 2022 | 6:16pm
Ketua Perunding, Jeneral Wanlop Rugsanaoh (tengah) pada sidang media pada 15 Januari lalu bersama Timbalan Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Thailand, Chatchai Bangchuad (kiri) dan Komander Tentera Wilayah Ke-4 Thailand, Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak (kanan) mengenai sambungan rundingan damai selatan Thailand. - Foto BERNAMA
Ketua Perunding, Jeneral Wanlop Rugsanaoh (tengah) pada sidang media pada 15 Januari lalu bersama Timbalan Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Thailand, Chatchai Bangchuad (kiri) dan Komander Tentera Wilayah Ke-4 Thailand, Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak (kanan) mengenai sambungan rundingan damai selatan Thailand. - Foto BERNAMA

Seorang cedera dalam siri serangan bom di selatan Thailand

BANGKOK: Sekurang-kurangnya seorang individu cedera dalam beberapa siri serangan bom di Yala, selatan Thailand semalam.

Jurucakap timbalan polis, Kissana Phathanacharoen, berkata sekurang-kurangnya 13 letupan kecil berlaku di bandar Yala semalam.

"Kebanyakannya di kawasan jalan di hadapan kedai serbaneka, premis perniagaan, pasar, hospital veterinar dan kedai penjagaan kereta.

"Polis hari ini menemui sekurang-kurangnya tiga bahan letupan buatan sendiri (IED) yang tidak meletup, dibuat daripada tin cat dan paip besi serta diletakkan jangka masa.

"Polis mengesyaki letupan itu bertujuan untuk mencetuskan kekecohan dan huru hara, bukannya bagi menyebabkan kerosakan atau kecederaan," katanya.

Menurut kumpulan pemerhati Deep South Watch, kebangkitan kumpulan pemisah sejak 10 tahun lalu di Yala, Pattani dan Narathiwat, yang memiliki penghuni majoriti Melayu Islam, meragut lebih 7,300 nyawa sejak 2004.

Kumpulan pemberontak menuntut kemerdekaan untuk wilayah bersempadan dengan Malaysia itu, yang menjadi sebahagian daripada pemerintahan kesultanan Patani pada 1909.

Kes pengeboman itu berlaku hanya beberapa minggu selepas kerajaan Thailand memulakan kembali rundingan damai dengan kumpulan pemberontakan utama, selepas ia terhenti selama dua tahun akibat COVID-19.

Seperti mana serangan lain di selatan Thailand, tiada sebarang pihak mengaku bertanggungjawab terhadap kes pengeboman berkenaan.

Kumpulan pemberontak utama, Barisan Revolusi Kebangsaan, tidak memberi maklum balas ketika diminta mengulas tragedi berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X