Jumaat, 28 Januari 2022 | 7:40pm
Gambar hiasan. - Foto EPA
Gambar hiasan. - Foto EPA

Indonesia lapor penemuan varian baharu COVID-19

JAKARTA: Indonesia melaporkan satu lagi varian baharu COVID-19 yang didakwa ditemui di Surabaya, Jawa Timur.

Ketua Jabatan Kesihatan Jawa Timur, Erwin Astha Triyono, mengesahkan terdapat satu kes membabitkan varian baharu itu, yang disifatkan sebagai strain tempatan.

Media tempatan, TribunJateng.com, sebelum ini melaporkan mutasi varian itu berbeza berbanding Omicron, Delta atau varian lain yang terdahulu.

Erwin menjelaskan, varian baharu itu dikesan menerusi pemeriksaan penjujukan genom keseluruhan (WGS) yang dilakukan oleh Institut Penyakit Tropika (ITD) di Universiti Airlangga Surabaya (Unair).

"Terdapat 18 sampel yang dikesan ITD Unair dengan lapan daripadanya membabitkan varian Omicron, sembilan (Delta) dan satu lagi varian tempatan.

"Varian baharu itu berbeza berbanding Omicron dan Delta," katanya, yang dipetik Tribunnews.

Sehubungan itu, pihak berkuasa kesihatan giat melakukan kajian terhadap penemuan varian baharu itu bagi mengenal pasti risiko jangkitan.

Kata Erwin, masih terlalu awal untuk menjelaskan ciri-ciri varian berkenaan dan akan maklumkan segera kepada umum selepas kajian dilakukan.

"Penelitian masih dilakukan oleh pasukan di ITD Unair dan perinciannya lebih sesuai diselaraskan dengan Ketua ITD Unair, Prof Maria Lucia Inge, kerana beliau yang mempunyai data lengkap," katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Siti Nadia Tarmizi, berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Jawa Timur berhubung penemuan varian itu.

"Sehingga kini, kami belum memperoleh maklumat lanjut mengenai varian berkenaan dan jika ia disahkan varian baharu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menentukan kategori varian yang dikesan ini," katanya. - AGENSI

Berita Harian X