Khamis, 27 Januari 2022 | 5:26pm
Operasi pembersihan sedang dijalankan untuk tumpahan minyak mentah yang disebabkan oleh kebocoran saluran paip bawah laut yang dimiliki oleh Star Petroleum Refining Public Company Limited di Teluk Thailand, dekat Rayong. - Foto AFP
Operasi pembersihan sedang dijalankan untuk tumpahan minyak mentah yang disebabkan oleh kebocoran saluran paip bawah laut yang dimiliki oleh Star Petroleum Refining Public Company Limited di Teluk Thailand, dekat Rayong. - Foto AFP

Thailand bergelut kawal tumpahan minyak

BANGKOK: Tentera laut dan pakar pencemaran di Thailand bertungkus-lumus membersihkan tumpahan minyak berdekatan sebuah pantai pelancongan terkemuka, berikutan insiden kebocoran saluran paip bawah laut yang mengeluarkan hampir 50 tan minyak mentah.

Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand memberi amaran bahawa tumpahan minyak di Teluk Thailand, kira-kira 20 kilometer pesisir wilayah Rayong itu berupaya mengancam sebuah taman negara berdekatan pulau Ko Samet.

Arus lemah bagaimanapun berupaya memastikan tumpahan minyak berada jauh dari kawasan pesisir dan belum ada laporan mengenai impak terhadap kehidupan marin atau perusahaan makanan laut.

Star Petroleum Refining Public Company Limited, yang mengendalikan operasi saluran paip minyak itu berkata, jumlah keseluruhan tumpahan minyak dijangka antara 20 hingga 50 tan.

Syarikat itu berkata, penyelam mendapati terdapat kerosakan pada hos anjal yang membentuk sebahagian daripada peralatan saluran bawah laut itu dan menghubungkan pelampung untuk kegunaan kapal pengangkut.

Menerusi sidang media bersama Tentera Laut Thailand dan agensi berkaitan, Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand serta pakar lain dilaporkan sedang menilai jenis bahan pengurai untuk digunakan bagi mengawal tumpahan minyak itu.

Insiden sama pernah berlaku pada 2013 sehingga mencetuskan tumpahan minyak yang meliputi keseluruhan pantai Ko Samet, sekali gus menyaksikan usaha pemuliharaan terpaksa dibuat dengan menggunakan pakaian perlindungan bagi mencuci tanah pantai yang hitam. - AFP

Berita Harian X