Jumaat, 21 Januari 2022 | 4:16pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Permintaan daging buaya meningkat di Thailand

BANGKOK: Permintaan daging buaya melonjak di Thailand ekoran harga daging bagi terus meningkat kerana kekurangan bekalan, berpunca penularan demam babi Afrika di negara itu.

Kekurangan daging babi yang menjadi bahagian penting terutama sumber protin pilihan utama pemakanan penduduk negara itu, dijangka bertahan untuk beberapa bulan.

Susulan itu, Perdana Menteri Thailand, Praytuh Chan-ocha, minggu lalu mengarahkan agensi kerajaan untuk menangani isu bekalan makanan dan lonjakan harga dengan segera.

Perkara itu begitu mustahak untuk beliau kerana Pilihan Raya Umum (PRU) di negara itu dijangka akan berlangsung pada Mac tahun depan.

"Banyak vendor makanan dan restoran datang kepada saya, memohon untuk membeli daging buaya," kata pemilik kandang buaya, Wichai Roogtaweechai.

Roogtaweechai yang berusia 65 tahun menjalankan operasi kandang di ladang seluas tiga hektar yang mempunyai 10,000 ekor buaya di wilayah Nakhon Pathom, 60 kilometer (km) di barat Bangkok.

Sehingga kini, ladang itu kebanyakannya menjual kulit buaya kepada penggiat industri fesyen dan menjual daging yang dilapah untuk pasaran eksport, termasuk restoran yang menghidangkan daging eksotik.

Bagaimanapun, pada beberapa minggu lalu, daging buaya yang dibekalkan oleh beliau meningkat mendadak melebihi 100 kg sehari, berbanding sekitar 20 kg sehari sebelumnya.

Katanya, seekor buaya boleh menghasilkan sekitar 50 kg daging.

Susulan apa yang berlaku di negara itu, ramai pelanggan datang ke ladangnya boleh dikatakan hampir setiap hari.

Menurut Roogtaweechai, buat pertama kalinya, ada pemilik kedai mi dari Bangkok membeli daging buaya daripadanya sebagai alternatif lain menggantikan daging babi.

Harga daging babi meningkat antara 80 baht (RM10) dan 190 baht (RM24) bagi sekilogram dari kira-kira 50 baht (RM6) hingga 100 baht (RM12) sebelum ini.

Bahagian daging buaya paling mahal adalah pada ekornya kerana mempunyai tekstur yang lembut, kenyal dan rendah lemak. - AGENSI

Berita Harian X