Selasa, 18 Januari 2022 | 3:50pm
Foto hiasan
Foto hiasan

China arahkan pembasmian kuman untuk mel dari luar negara

BEIJING: Perkhidmatan Pos China mengarahkan kerja pembasmi kuman bagi penghantaran antarabangsa dan menggesa orang ramai mengurangkan pesanan dari luar negara selepas pihak berkuasa mendakwa mel boleh menjadi punca wabak COVID-19, baru-baru ini.

China, negara pertama tempat virus itu mula-mula muncul pada akhir 2019, menetapkan dasar ketat dengan sasaran sifar kes COVID-19 walaupun hampir seluruh dunia kini mula dibuka semula.

Namun, negara itu kini sedang bertarung dengan beberapa jangkitan kecil, termasuk satu kes di Beijing ketika ibu negara itu bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pegawai China tidak menolak kemungkinan sesetengah orang mungkin dijangkiti daripada barang yang di pos dari luar negara, termasuk kes seorang wanita di Beijing yang dikatakan tidak mempunyai hubungan dengan orang lain turut dijangkiti tetapi diuji positif untuk varian yang serupa dengan yang ditemui di Amerika Utara.

Semalam, China Post melaporkan kenyataan Perkhidmatan Pos yang mengarahkan pekerja melaksanakan pembersihan membasmi kuman pada pembungkus luar bagi semua mel antarabangsa 'secepat mungkin' dan pekerja yang mengendalikan surat dan bungkusan dari negara asing menerima dos vaksin penggalak.

Perkhidmatan Pos juga meminta orang ramai mengurangkan pembelian dan penghantaran dari negara dan wilayah yang mempunyai risiko wabak yang tinggi dan menegaskan mel domestik perlu dikendalikan di kawasan yang berbeza bagi mengelakkan pencemaran silang.

COVID-19 disebarkan melalui zarah cecair kecil yang dihembus oleh orang yang dijangkiti.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) menyatakan risiko dijangkiti daripada permukaan tercemar - dikenali sebagai penularan fomit - adalah rendah dan semakin kini semakin berkurangan.

CDC berkata, wujud pengurangan 99 peratus dalam kesan virus yang ditinggalkan pada kebanyakan permukaan dalam masa tiga hari.

Namun, China tidak mahu mengambil sebarang risiko, lebih-lebih lagi menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan depan.

Negara itu kini melaksanakan sekatan yang ketat, ujian saringan besar-besaran dan menggunakan aplikasi penjejak kesihatan mengesan kontak jangkitan sebaik saja ada kes dikesan.

Berjuta-juta orang terkurung di rumah mereka di beberapa bandar dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas kes kes jangkitan varian Delta dan Omicron merebak.

Jangkitan terbaharu dikesan di kawasan yang menerima jumlah barangan antarabangsa yang tinggi, termasuk di bandar pelabuhan timur Tianjin dan wilayah pembuatan selatan Guangdong.

China hari ini melaporkan 127 kes baharu COVID-19 melalui jangkitan tempatan. - AFP

Berita Harian X