Isnin, 17 Januari 2022 | 4:06pm
Petisyen itu bertujuan membatalkan pencalonan Ferdinand Marcos Jr, yang muncul sebagai calon pilihan yang jelas. - Foto REUTERS
Petisyen itu bertujuan membatalkan pencalonan Ferdinand Marcos Jr, yang muncul sebagai calon pilihan yang jelas. - Foto REUTERS

Filipina tolak petisyen halang Marcos Jr bertanding sebagai presiden

MANILA: Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina hari ini menolak petisyen yang bertujuan menghalang anak lelaki mendiang diktator Ferdinand Marcos daripada bertanding dalam pilihan raya tahun ini.

Ia adalah satu daripada beberapa aduan yang difailkan dalam usaha untuk menggagalkan bidaan presiden negara itu.

Petisyen itu bertujuan membatalkan pencalonan Ferdinand Marcos Jr, yang muncul sebagai calon pilihan yang jelas, selepas dituduh memutar-belit kelayakannya berikutan sabitan cukai sebelum ini.

Bagaimanapun, Bahagian Kedua Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec) menolak aduan itu, kata peguam dalam petisyen itu.

"Bahagian Kedua memutuskan tiada alasan untuk membatalkan COC (sijil pencalonan) Marcos Jr atas alasan 'representation material'," kata peguam dalam satu kenyataan.

Katanya, pihaknya akan memfailkan usul untuk pertimbangan semula Comelec dengan barisan penuh hakim.

Aduan itu antara yang difailkan beberapa kumpulan yang menuntut penyingkiran Marcos, seorang ahli politik yang pernah berkhidmat sebagai anggota kongres, senator dan gabenor wilayah, kebanyakannya berhubung sabitan pelanggaran cukai pada 1995 semasa berada di pejabat awam, seperti dihujahkan pempetisyen bermakna larangan pilihan raya untuk seumur hidup.

Terdapat petisyen lain belum selesai dengan bahagian pertama Comelec.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya kerana menegakkan undang-undang dan hak setiap calon 'bona fide' (dibuat dengan niat yang baik) seperti Bongbong Marcos untuk bertanding jawatan awam bebas daripada sebarang bentuk gangguan dan diskriminasi," kata jurucakap Marcos, Vic Rodriguez yang merujuk kepada nama panggilan calon dalam satu kenyataan.

Pilihan raya itu adalah untuk memilih pengganti Rodrigo Duterte yang dilarang oleh perlembagaan daripada penggal kedua yang bakal berlangsung pada 9 Mei depan.

Calon utama lain termasuk senator dan juara tinju bersara Manny Pacquiao, Naib Presiden, Leni Robredo dan Senator Panfilo Lacson iaitu seorang bekas ketua polis. - REUTERS

Berita Harian X