Isnin, 17 Januari 2022 | 10:51am
 Foto fail AFP
Foto fail AFP

Indonesia gantung kebenaran umrah mulai 15 Januari

JAKARTA: Kementerian Hal Ehwal Agama menangguhkan pelepasan jemaah umrah bermula Sabtu lalu bagi memberi masa kepada pihak berkuasa menilai skim Dasar Satu Pintu (OGP) dan memantau penularan varian Omicron di Indonesia dan Arab Saudi.

"Kami sedang menilai konsep OGP secara menyeluruh dengan mempertimbangkan perkembangan semasa berikutan varian Omicron terus menular di banyak negara, termasuk Indonesia dan Arab Saudi," kata Ketua Pengarah Haji dan Umrah kementerian, Hilman dalam kenyataan semalam.

Memetik laporan portal antaranews.com, kerajaan mula membenarkan ibadah umrah pada 8 Januari lalu dan sejak itu seramai 1,731 jemaah berlepas melalui asrama haji Pondok Gede di Jakarta.

Di bawah skim OGP, semua jemaah umrah yang tiba di asrama haji Pondok Gede diwajibkan lulus saringan kesihatan dan pemeriksaan dokumen.

Jemaah umrah yang berlepas pada 8 Januari dijadualkan tiba di Indonesia pada 17 Januari, dan kementerian akan memantau kemungkinan penularan Omicron dalam kalangan jemaah.

"Pelepasan jemaah umrah berterusan sehingga 15 Januari (Sabtu lalu) dan kita hentikan mereka buat sementara waktu untuk penilaian," katanya.

Menurut Hilman, ziarah umrah adalah sama dengan perjalanan antarabangsa yang lain. Ejen pelancongan memainkan peranan dominan dalam mengatur ibadah manakala kementerian hanya memudahkan persiapan jemaah.

Ia berbeza dengan jemaah haji yang mana kerajaan mengambil bahagian dalam mengawal tatacara dan proses jemaah.

Hilman berkata kementerian akan memutuskan sama ada akan meneruskan atau menghentikan ziarah umrah selepas selesai penilaian yang dijalankan dengan penyelarasan kementerian berkaitan.

"Kami hanya menggalakkan PPIU (ejen pelancongan umrah) untuk tidak menghantar sekumpulan besar jemaah. Kami akan mengumumkan keputusan penilaian tidak lama lagi. Mekanisme buka dan tutup digunakan kerana perkembangan kes Omicron di Indonesia dan Arab Saudi," kata Hilman.

Kementerian Hal Ehwal Agama menghantar 419 orang menunaikan umrah pada 8 Januari, menandakan keberangkatan umrah selepas dua tahun sejak pandemik COVID-19 melanda.

Perancangan awal kebenaran umrah ditetapkan pada Disember 2021. Bagaimanapun, kementerian menangguhkan rancangan itu berikutan situasi COVID-19 di negara ini pada penghujung 2021.

Persiapan pelepasan umrah dibuat melalui kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar, Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Pasukan Petugas COVID-19, Pihak Berkuasa Lapangan Terbang dan Badan Mitigasi Bencana Negara (BNPB). - AGENSI

Berita Harian X