Ahad, 16 Januari 2022 | 9:30pm
Gambar hiasan. Foto AFP
Gambar hiasan. Foto AFP

Thailand lapor kematian pertama akibat varian Omicron

BANGKOK : Thailand melaporkan kes kematian pertama membabitkan COVID-19 varian Omicron yang begitu cepat menular, menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Rungrueng Kitphati, hari ini.

"Kematian membabitkan seorang wanita berusia 86 tahun dari wilayah selatan Songkhla itu berlaku selepas Thailand mengesan kes Omicron pertama bulan lalu.

"Wanita itu adalah pesakit Alzheimer yang terlantar di katil," katanya.

Ia sekali gus memaksa pelaksanaan semula kuarantin wajib COVID-19 kepada pelawat asing.

Kata Kitphati, kes kematian sedemikian dijangkakan kerana Thailand setakat ini sudah merekodkan lebih 10,000 kes Omicron tetapi tidak perlu melaksanakan langkah lanjut bagi membendung penularan jangkitan.

Thailand melaporkan 8,077 kes baru COVID-19 dan sembilan kematian hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara itu kini lebih 2.3 juta dan hampir 22,000 kematian dilaporkan sejak pandemik bermula pada 2020.

Sekitar 66 peratus daripada 72 juta penduduk Thailand sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, namun hanya sekitar 14.9 peratus sudah mendapatkan dos penggalak. - REUTERS

Berita Harian X