Ahad, 16 Januari 2022 | 9:00pm
Gambar fail pemimpin Liga Nasional Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi, yang kerajaan pimpinannya digulingkan junta tentera Myanmar hampir setahun lalu. - Foto AFP
Gambar fail pemimpin Liga Nasional Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi, yang kerajaan pimpinannya digulingkan junta tentera Myanmar hampir setahun lalu. - Foto AFP

Tiada rundingan damai di Myanmar tanpa Suu Kyi - Filipina

MANILA: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, sangat diperlukan dalam memulihkan kembali demokrasi negara itu dan mesti terbabit dalam semua rundingan damai.

Menteri Luar Filipina, Teodoro Locsin, hari ini menegaskan junta tentera perlu membenarkan pemimpin Liga Nasional Demokrasi (NLD) itu menyertai rundingan damai, tidak kira apa status kes mahkamah terhadap beliau.

Dalam teguran keras terhadap junta Myanmar yang menggulingkan kerajaan pimpinan Suu Kyi tahun lalu, Locsin mengecam hukuman terbaru dikenakan terhadap pemenang Hadiah Nobel itu minggu lalu.

Beliau mendakwa junta tentera Myanmar memperalatkan sistem kehakiman negara untuk memusnahkan lawannya.

Locsin berkata, beliau turut menyokong kenyataan Menteri Luar Norway, Anniken Huitfeldt, dalam menuntut junta membebaskan tahanan politik, menghentikan keganasan dan menghormati hak asasi manusia.

"Saya amat prihatin terhadap penderitaan penduduk awam, kami juga menggesa kepimpinan tentera mengambil bahagian dalam dialog inklusif dan meneruskan proses peralihan demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dibuat ketika ASEAN dilihat mengenepikan junta tentera Myanmar sejak penghujung tahun lalu.

Malah, ketua junta, Min Aung Hlaing, dikecualikan daripada menghadiri sidang kemuncak pemimpin ekoran kegagalannya memenuhi komitmen pelan damai ASEAN.

Locsin berkata, dialog tidak akan bermakna tanpa kehadiran Suu Kyi, biarpun beliau setakat ini sudah dijatuhi hukuman enam tahun penjara dalam siri perbicaraan berterusan membabitkan pelbagai dakwaan berkait rasuah sehingga pelanggaran rahsia rasmi.

"Suu Kyi mesti berada di sana, biarpun dia bersalah. Angkatan bersenjata Myanmar tidak perlu takut dan banyak manfaat diperoleh jika demokrasi dikembalikan kepada Myanmar.

"Suu Kyi amat diperlukan dalam pemulihan demokrasi tanpa menimbulkan ancaman dan pembubaran kepada anarki serta konflik sivil," katanya.

Locsin juga menyatakan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, selepas Pengerusi baharu ASEAN itu melawat Aung Hlaing di Myanmar awal bulan ini.

"Filipina akan memastikan kemajuan dilihat dalam konsensus lima perkara ASEAN mengenai krisis di Myanmar, perjanjian yang merangkumi rundingan damai, menghentikan permusuhan dan membenarkan bantuan kemanusiaan.

"Persetujuan hanya sebahagian rancangan dan tidak terikat dengan mana-mana pelan hala tuju, merujuk proses lima peringkat untuk memulihkan demokrasi yang diumumkan junta ketika mereka merampas kuasa sebelum ini. - REUTERS

Berita Harian X