Ahad, 16 Januari 2022 | 8:46pm
Bangunan Plaza Indonesia-Malaysia-Thailand Golden Triangle (IMT-GT) di Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan adalah antara pusat perniagaan yang akan mendapat manfaat pembukaan semula kesemua sembilan pusat pemeriksaan di sempadan. - Foto NSTP
Bangunan Plaza Indonesia-Malaysia-Thailand Golden Triangle (IMT-GT) di Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan adalah antara pusat perniagaan yang akan mendapat manfaat pembukaan semula kesemua sembilan pusat pemeriksaan di sempadan. - Foto NSTP

Pusat pemeriksaan sempadan dibuka, perdagangan rancak kembali

BANGKOK: Perdagangan sempadan Malaysia-Thailand dijangka mendapat rangsangan daripada pembukaan semula kesemua sembilan pusat pemeriksaan di sempadan.

Pegawai Perdagangan Jabatan Perdagangan Luar dari Kementerian Perdagangan Thailand, Niwat Hansaward, berkata disebabkan pandemik COVID-19, Thailand menutup semua 97 pusat pemeriksaan sempadannya.

"Ini termasuk sembilan di sempadan Malaysia pada akhir Mac 2020, sekali gus telah menjejaskan perdagangan kerana penghantar kargo berdepan kesukaran untuk menghantar barangan.

"Bagaimanapun, pusat pemeriksaan dibuka semula secara beransur-ansur dan sehingga kini, terdapat 46 pusat pemeriksaan termasuk kesemua sembilan pusat pemeriksaan di sempadan Malaysia, yang sedang beroperasi.

"Ini adalah satu langkah besar ke hadapan untuk meningkatkan perdagangan sempadan dan kesan positif kepada aliran barangan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kerajaan Thai menutup kesemua sembilan pusat pemeriksaan di darat dan laut Thailand-Malaysia semasa pandemik bagi mengekang penularan COVID-19.

Hanya satu pusat pemeriksaan darat atau laut di setiap wilayah yang bersempadan dengan Malaysia dibuka untuk pengangkutan barangan merentasi sempadan.

Pada November tahun lalu, dua pusat pemeriksaan terakhir di sempadan Malaysia-Thailand di Narathiwat, iaitu Ban Buketa-Bukit Bunga (Kelantan) dan Tak Bai-Pangkalan Kubor (Kelantan), dibuka semula.

Disasarkan dua pusat pemeriksaan kastam di kawasan itu akan meningkatkan nilai perdagangan tahunan di antara Thailand-Malaysia berkembang sekurang-kurangnya sebanyak 600 juta baht.

Pusat pemeriksaan lain yang dibuka termasuk Wang Prachan (Satun)-Wang Kelian (Perlis), Jeti Thammalang (Satun)–Jeti Kuala Perlis (Perlis), Padang Besar (Songkhla)-Padang Besar (Perlis) dan Sadao (Songkhla)-Bukit Kayu Hitam (Kedah).

Turut dibuka, Baan Prakob (Songkhla)-Kota Putra (Kedah), Betong (Yala)-Pengkalan Hulu (Perak), Ban Buketa (Narathiwat)-Bukit Bunga (Kelantan), Tak Bai (Narathiwat) -Pangkalan Kubor (Kelantan) dan Sungai Kolok (Narathiwat)-Rantau Panjang (Kelantan).

Selain itu, Wang Prachan (Satun)-Wang Kelian (Perlis), Jeti Thammalang (Satun)–Jeti Kuala Perlis (Perlis), Padang Besar (Songkhla)-Padang Besar (Perlis), Sadao (Songkhla)-Bukit Kayu Hitam (Kedah), Baan Prakob (Songkhla)-Kota Putra (Kedah), Betong (Yala)-Pengkalan Hulu (Perak) dan Sungai Kolok (Narathiwat)-Rantau Panjang (Kelantan) turut dibuka.

Niwat berkata perdagangan rentas sempadan agak perlahan tahun lalu berikutan sekatan di sempadan yang ketat serta kekurangan buruh.

"Bagaimanapun, pemulihan ekonomi global, penyusutan nilai baht, dan pembukaan semula pusat pemeriksaan sempadan meluaskan perdagangan sempadan," katanya.

Beliau memberitahu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan, Jurin Laksanawisit, berharap untuk membuka semula semua 97 pusat pemeriksaan di sepanjang sempadan Thailand bagi meningkatkan perdagangan. - BERNAMA

Berita Harian X