Ahad, 16 Januari 2022 | 8:09pm
Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana. - Foto REUTERS
Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana. - Foto REUTERS

Filipina beli 32 helikopter Black Hawk baru

MANILA: Filipina akan membeli 32 helikopter Black Hawk baru dengan harga lebih AS$620 juta (RM2.6 bilion), kata setiausaha pertahanannya, Delfin Lorenzana, hari ini.

Siri pembelian besar terbaru negara itu adalah sebahagian usaha meningkatkan keupayaan ketenteraan yang semakin uzur.

Sejak sedekad lalu, Manila sudah mula memodenkan peralatan ketenteraannya yang rosak, kebanyakannya merangkumi helikopter era Perang Vietnam dan kapal tentera laut Perang Dunia II yang digunakan Amerika Syarikat (AS).

Lorenzana menerusi Facebooknya memaklumkan, aset pertama adalah 32 S-70i Black Hawk hasil keluaran firma Poland yang dimiliki pengeluar pertahanan AS, Lockheed Martin, akan mula tiba tahun depan.

Katanya, pesawat itu diperlukan untuk bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana.

"Kekurangan pesawat pengangkutan dan helikopter tidak pernah menjadi lebih teruk ketika wabak dan selepas Taufan Odette," katanya.

Taufan Odette atau nama tempatannya, Taufan Rai, mengakibatkan lebih 400 orang terkorban selain menyaksikan kemusnahan meluas selepas ia melanda negara itu pada Disember lalu.

"Ini diburukkan lagi oleh helikopter Huey kami yang semakin uzur sehingga sudah menjadi tidak berbaloi dari segi ekonomi untuk dikekalkan," kata Lorenzana. - AFP

Berita Harian X