Ahad, 16 Januari 2022 | 10:33am
Aung San Suu Kyi. - Foto REUTERS
Aung San Suu Kyi. - Foto REUTERS

Suu Kyi berdepan lima lagi pertuduhan

YANGON: Pemimpin Myanmar yang digulingkan menerusi rampasan kuasa, Aung San Suu Kyi berdepan lima lagi pertuduhan baharu berhubung pembelian helikopter, lapor AFP.

Agensi berita yang memetik sumber yang rapat dengan kes itu berkata, pertuduhan itu termasuk berhubung pemerolehan, penyenggaraan dan pembelian sebuah helikopter.

Menurut sumber sama, bekas presiden U Win Myint turut berdepan pertuduhan sama.

Disember lalu, akhbar kerajaan, Global New Light of Myanmar melaporkan bahawa kedua-dua individu itu akan didakwa kerana tidak mengikuti peraturan kewangan dan menyebabkan kerugian atas sewaan dan pembelian helikopter untuk bekas menteri Win Myat Aye.

Myat Aye menyewa helikopter itu dari 2019 dan 2021 serta didakwa hanya menggunakannya selama 84.95 jam, berbanding tempoh sewaan selama 720 jam, lapor akhbar berkenaan.

Beliau seperti beberapa ahli politik lain kini dalam persembunyian.

Isnin lalu, mahkamah mensabitkan Suu Kyi atas tiga pertuduhan jenayah berhubung mengimport secara haram dan memiliki walkie talkie serta melanggar peraturan kawalan COVID-19.

Beliau dijatuhi hukuman penjara empat tahun.

Sebelum itu, pada Disember, Suu Kyi dihukum penjara dua tahun atas dakwaan menghasut terhadap tentera, dan menyalahi peraturan lain berhubung kawalan COVID-19.

Hukuman penjara enam tahun ini bakal menyaksikan Suu Kyi tidak dapat bertanding jika junta mengotakan janji untuk mengadakan pilihan raya menjelang Ogos 2023. - AFP

Berita Harian X