Sabtu, 15 Januari 2022 | 11:36pm
- Hiasan. FOTO AFP
- Hiasan. FOTO AFP

Penyerahan pemberontak tiada kaitan rundingan damai

PHUKET: Thailand menafikan dakwaan tiga warganya yang disyaki sebagai pemberontak yang diserahkan kerajaan Malaysia, ada kaitan dengan dialog damai di Kuala Lumpur awal minggu ini.

Ketua perunding rundingan damai selatan Thailand, Jeneral Wanlop Rugsanaoh berkata, penyerahan itu adalah hasil kerjasama ekstradisi antara kedua-dua negara dan tiada kaitan dengan dialog damai di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di sini, hari ini.

Media Thailand pada Sabtu melaporkan penyerahan ketiga-tiga mereka berlaku pada Rabu lalu, hari kedua rundingan dialog damai berkenaan.

Ketiga-tiga mereka yang mempunyai rekod jenayah itu ditahan berhampiran Durian Burung, di negeri Kedah bulan lalu.

Ketiga-tiga suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah dan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan di selatan berada dalam senarai orang dikehendaki di Thailand.

Pada 11 dan 12 Januari lalu, rundingan damai secara bersemuka selatan Thailand yang tertangguh selama hampir dua tahun akibat pandemik COVID-19, disambung buat kali pertama di Kuala Lumpur, Malaysia.

Wanlop dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) diketuai oleh Anas Abdulrahman, hadir ke rundingan dua hari itu.

Rundingan itu dibantu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Mohd Noor sebagai pemudah cara mewakili kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Wanlop berkata, Thailand kekal komited mencari penyelesaian berkekalan menamatkan konflik di wilayah selatan negara itu dan menjangkakan perkembangan positif dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, rundingan bersemuka di Kuala Lumpur baru-baru ini berjalan lancar dengan kedua-dua pihak menunjukkan 'sikap mesra'.

Beliau menjelaskan, kedua-dua pihak bersetuju mengadakan mesyuarat rundingan damai setiap dua hingga tiga bulan namun ia bergantung kepada situasi COVID-19.

"Kami juga setuju penyertaan daripada semua sektor dan pihak berkaitan supaya dapat mencari penyelesaian secara damai dan menamatkan konflik di wilayah selatan Thailand," katanya.

Wanlop berkata, sejak perbincangan pertama dengan BRN pada tahun 2019, kedua-dua pihak kini menunjukkan kepercayaan yang lebih tinggi.

"Perbincangan kali ini telah mencapai kemajuan yang sangat baik dan dijangka membawa kepada perumusan topik. Ini adalah langkah penting dalam proses perbincangan

"Akan terdapat kemajuan yang lebih konkrit khususnya dalam usaha mengurangkan keganasan," katanya.

Dalam rundingan damai kali ketiga antara BRN dan kerajaan Thailand, kedua-dua pihak bersetuju dengan tiga prinsip yang akan menjadi perkara utama dalam mesyuarat rundingan damai akan datang iaitu; pengurangan tindakan kekerasan kedua-dua belah pihak, konsultasi awam dan solusi politik. — BERNAMA

Berita Harian X