Jumaat, 14 Januari 2022 | 5:55pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Gempa bumi magnitud 6.7 dikesan berdekatan Jawa

JAKARTA: Gempa bumi kuat berukuran magnitud 6.7 pada skala Richter dikesan di barat daya pulau Jawa di Indonesia tengah hari tadi.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), gempa bumi berpusat di luar pesisir Provinsi Banten itu tidak berpotensi mengakibatkan tsunami.

Namun, gegaran kuat dirasai sehingga Jakarta, yang menyebabkan orang ramai lari meninggalkan bangunan dan premis kediaman, menurut saksi yang ditemui Reuters.

AFP pula melaporkan, penduduk Jakarta diarah mengosongkan bangunan dan ratusan terus menunggu di kawasan terbuka selepas gegaran berkurangan.

Seorang penghuni kompleks apartmen kalibata City, Nur Latifa, 25, berkata penduduk kediaman di selatan ibu negara itu bergegas meninggalkan premis masing-masing.

"Saya sedang bekerja dari rumah apabila mendapati komputer riba saya bergerak... kemudian pintu mula bergetar... seterusnya hiasan tergantung dalam rumah bergoyang semakin laju.

"Saya terus mendapatkan teman sebilik yang berada di bilik air dan kami meninggalkan bangunan apartmen, ramai yang lain berkejar ke tangga kecemasan," katanya kepada AFP.

Sementara itu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) turut mengesahkan bahawa gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 37 kilometer.

Indonesia sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di 'Lingkaran Api Pasifik', kawasan yang kerap mengalami aktiviti seismik yang ketara apabila berlaku perlagaan plet tektonik dari Jepun merentasi Asia Tenggara sehingga ke Lembangan Pasifik. - AGENSI

Berita Harian X