Rabu, 12 Januari 2022 | 1:19pm
Antara faedah memperoleh kewarganegaraan Thailand, termasuk hak memiliki harta, bekerja tanpa permit kerja dan boleh memiliki saham dalam syarikat negara itu. - Foto AFP
Antara faedah memperoleh kewarganegaraan Thailand, termasuk hak memiliki harta, bekerja tanpa permit kerja dan boleh memiliki saham dalam syarikat negara itu. - Foto AFP

Thailand tetapkan peraturan baharu mohon kewarganegaraan

BANGKOK: Permohonan kewarganegaraan Thailand kini menjadi lebih mahal dengan peraturan baharu yang diperkenalkan pihak kerajaan.

Timbalan jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek, berkata Kabinet Thailand semalam, meluluskan peraturan baharu yang mana warga asing yang memohon kewarganegaraan negara Gajah Putih itu perlu lulus ujian bahasa Thai yang dikendalikan satu jawatankuasa kecil.

Beliau berkata, pemohon juga perlu menunjukkan sijil daripada Kementerian Pendidikan untuk membuktikan mereka sudah menamatkan sekurang-kurangnya pendidikan rendah di Thailand.

Di bawah peraturan lama, pemohon dikehendaki 'mempunyai pengetahuan bahasa Thai'.

Selain itu, beliau berkata, kabinet juga bersetuju untuk menggandakan yuran permohonan untuk orang dewasa daripada 5,000 baht (RM626) kepada 10,000 baht (RM1,252).

"Yuran permohonan untuk kanak-kanak adalah daripada 2,500 baht (RM313) hingga 5,000 baht (RM626)," katanya.

Antara faedah memperoleh kewarganegaraan Thailand, termasuk hak memiliki harta, kebolehan bekerja di Thailand tanpa permit kerja dan boleh memiliki saham dalam syarikat Thailand. - BERNAMA

Berita Harian X