Jumaat, 7 Januari 2022 | 7:51pm
Orang ramai yang memakai pelitup muka keluar dari skytrain BTS di Bangkok pada 6 Disember 2021 ketika Thailand merekodkan kes pertama varian COVID-19 Omicron. - Foto AFP
Orang ramai yang memakai pelitup muka keluar dari skytrain BTS di Bangkok pada 6 Disember 2021 ketika Thailand merekodkan kes pertama varian COVID-19 Omicron. - Foto AFP

Thailand umum sekatan baharu susulan lonjakan kes COVID-19

BANGKOK: Thailand akan melanjutkan penangguhan program pengecualian kuarantin dan menguatkuasakan sekatan baharu susulan lonjakan kes COVID-19 dikaitkan dengan varian Omicron, kata pasukan petugas COVID-19 kerajaan, hari ini.

Jurucakapnya, Taweesin Visanuyothin, berkata permohonan baharu skim pengecualian kuarantin 'Test & Go' Thailand tidak akan diluluskan sehingga notis lanjut bagi membendung lonjakan jangkitan COVID-19, namun pemohon sedia ada masih boleh memasuki Thailand tanpa kuarantin hingga Sabtu depan.

"Perubahan masih boleh dibuat jika keadaan bertambah baik, tetapi ketika ini kami perlu mengetahui lebih lanjut mengenai Omicron," katanya.

Susulan kebimbangan terhadap Omicron, Thailand menghentikan program penepian sejak 22 Disember lalu dan kebanyakan skim 'sandbox' yang memerlukan pengunjung kekal di lokasi tertentu selama tujuh hari tetapi mereka dibenarkan bergerak bebas sepanjang penginapan, kecuali di Phuket.

Taweesin berkata, Thailand bagaimanapun akan membenarkan kemasukan tanpa kuarantin ke negara itu melalui skim sandbox Samui Plus, Phang Nga dan Krabi yang digantung sebelum ini, selain akan menarik balik larangan masuk ke atas pengembara ke lapan negara Afrika yang dikategorikan berisiko tinggi, mulai Selasa depan.

Bagi membendung penularan tempatan katanya, penggunaan alkohol di restoran akan dihentikan selepas jam 9 malam di lapan wilayah termasuk Bangkok mulai Ahad ini, dan diharamkan di 69 wilayah lain di negara itu.

"Peminum sosial adalah punca penyebaran virus. Sekatan ini akan membantu membendung penularan. Kes boleh mencecah 30,000 sehari menjelang akhir bulan ini, jika tidak dikawal," katanya.

Thailand melaporkan 7,526 kes COVID-19 hari ini, angka tertinggi sejak awal November 2021, dan lebih dua kali ganda berbanding pada 1 Januari lalu.

Kira-kira 69.5 peratus daripada anggaran 72 juta orang yang tinggal di negara itu sudah lengkap vaksinasi, namun hanya 11.5 peratus sudah menerima dos ketiga.

Kerajaan Thailand merancang untuk menyuntik 9.3 juta orang bulan ini, termasuk dos ketiga dan keempat, selain meluluskan rancangan membeli 50,000 kursus pil antiviral COVID-19 oral Pfizer Paxlovid, hari ini. - AGENSI

Berita Harian X