Jumaat, 7 Januari 2022 | 6:23pm
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. - Foto REUTERS
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. - Foto REUTERS

Indonesia mahu selesaikan masalah sempadan dengan Malaysia tahun ini

JAKARTA: Rundingan mendalam bagi menyelesaikan isu sempadan antara Indonesia dan Malaysia akan dipertingkatkan pada 2022 berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.

Beliau berharap Perjanjian Sempadan Maritim antara Wilayah membabitkan Laut Sulawesi dan Selat Melaka dapat dirunding dan ditandatangani oleh kedua-dua negara berdasarkan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 berhubung kawal selia penggunaan laut dan sumbernya.

"Bagi sempadan darat, keutamaan akan diberikan untuk menyelesaikan Masalah Garis Sempadan Tertunggak termasuk Pulau Sebatik," katanya dalam satu kenyataan mengenai pencapaian diplomasi 2021 dan sasaran 2022.

Pulau Sebatik terletak di Daerah Nunukan Wilayah Kalimantan Timur yang berkongsi sempadan dengan Malaysia.

Indonesia mengadakan 17 rundingan sempadan tahun lalu dengan Filipina, Malaysia, Palau dan Vietnam, berbanding hanya tujuh rundingan pada tahun sebelumnya.

Mengenai ASEAN, Retno berkata perpaduan blok itu mesti diperkukuh untuk menghadapi pandemik COVID-19, ketidaksamaan kadar vaksinasi, bencana alam, krisis pelarian dan perubahan iklim.

Rantau itu juga menyaksikan persaingan yang semakin meningkat antara negara-negara utama di rantau Indo-Pasifik.

"ASEAN mesti terus meningkatkan peranannya dalam membangunkan komunitinya dan mewujudkan rantau Indo-Pasifik yang aman, stabil dan makmur," jelasnya.

Retno berkata, Indonesia akan terus aktif dalam mempromosi keamanan dan diplomasi kemanusiaan, termasuk di Afghanistan, Palestin, isu Rohingya dan krisis politik di Myanmar.

- BERNAMA

Berita Harian X