Ahad, 2 Januari 2022 | 2:00pm
Gambar fail menunjukkan sukarelawan perubatan menyuntik vaksin COVID-19 Sinovac kepada pekerja pembinaan ketika program inokulasi bagi pekerja barisan hadapan di Manila, Filipina. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sukarelawan perubatan menyuntik vaksin COVID-19 Sinovac kepada pekerja pembinaan ketika program inokulasi bagi pekerja barisan hadapan di Manila, Filipina. - Foto AFP

Filipina ketatkan langkah kawalan COVID-19

MANILA: Kerajaan Filipina memperketatkan penguatkuasaan langkah kawalan di ibu negara, Manila, bagi membendung penularan COVID-19 terutama varian Omicron.

Manila mengalami 'perebakan luar biasa' coronavirus terutama varian Omicron yang menular lebih pantas pantas lagi mudah berjangkit.

Bandar raya metropolis dengan 13 juta penduduk itu akan diletakkan pada tahap berjaga-jaga ketiga tertinggi mulai esok sehingga 15 Januari depan.

Sistem baharu itu bertujuan mengimbangi keperluan untuk membendung jangkitan dengan pembukaan semula ekonomi Filipina, yang sebelum ini terkesan akibat penularan virus berkenaan.

Jurucakap Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, Karlo Nograles, ketika sidang akhbar kelmarin, memaklumkan restoran, taman, gereja dan salun kecantikan akan dibuka pada kapasiti yang lebih rendah untuk mengehadkan pergerakan masyarakat.

Selain itu, kelas secara bersemuka dan sukan membabitkan sentuhan digantung dalam tempoh berkenaan manakala sekatan setempat yang menyasarkan bangunan, jalan dan kawasan kejiranan tertentu akan dikuatkuasakan.

Jangkitan harian melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan kelmarin, ketika musim cuti Krismas susulan sekatan lebih longgar termasuk membenarkan perjumpaan keluarga dan perkhidmatan gereja di negara majoriti Katolik itu.

"Siasatan epidemiologi ke atas tiga kes tempatan menunjukkan terdapat kemungkinan tinggi penularan tempatan Omicron.

"Dalam beberapa hari akan datang, kita mungkin melihat lonjakan dalam kes aktif," katanya.

Jabatan Kesihatan sudah memberi amaran mengenai 'kebarangkalian tinggi 'perebakan luar biasa' jangkitan coronavirus yang dikaitkan dengan varian Omicron.

"Kita perlu memastikan penggunaan sistem kesihatan pada tahap yang boleh diurus. Kita boleh melakukan ini dengan bekerjasama untuk mencegah penularan COVID-19," kata Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque.

Sebelum ini, Filipina berada di tahap amaran kedua terendah sejak 3 Disember lalu, yang memerlukan kebanyakan tempat tertutup beroperasi pada kapasiti 50 peratus dengan membenarkan pengajian bersemuka secara terhad. - AGENSI

Berita Harian X