Khamis, 30 Disember 2021 | 8:34pm
Pelancong dilihat memakai pelitup muka di kawasan Kuta, Bali, di mana pihak polis Indonesia meningkatkan rondaan menjelang Tahun Baru. - Foto EPA
Pelancong dilihat memakai pelitup muka di kawasan Kuta, Bali, di mana pihak polis Indonesia meningkatkan rondaan menjelang Tahun Baru. - Foto EPA

Bali akan 'tendang keluar' pelancong asing langgar peraturan COVID-19

DENPASAR: Indonesia hari ini memberi amaran pelancong asing yang melanggar peraturan COVID-19 di pulau peranginan Bali sempena tahun baru ini akan dihantar pulang.

"Siap sedia untuk ditendang keluar," kata ketua pejabat imigresen Bali, Jamaruli Manihuruk, dalam satu temubual bersama AFP.

Katanya, pihaknya akan tegas melaksanakan peraturan kesihatan yang perlu dipatuhi ketika negara itu berusaha menangkis serangan varian Omicron yang sedang melanda dunia sekarang.

Gabenor Bali juga sudah menghalang karnival, bunga api dan perhimpunan melebihi 50 orang, sepanjang tempoh sambutan Krismas dan Tahun Baru.

Pusat beli-belah, restoran dan kafe mesti ditutup sebelum jam 10 malam dan hanya beroperasi pada kapasiti 75 peratus.

Pemandangan tropika indah, pantai luncur air serta pesta menjadikan Bali lokasi pilihan ramai pelancong dari Australia dan New Zealand serta mereka yang menetap di negara berdekatan seperti Singapura.

Namun, pada 2021 saja, Manihuruk berkata hampir 200 pelancong sudah diusir dari Bali termasuk tujuh orang diarah keluar kerana melanggar protokol COVID-19.

Pada Julai lalu, tiga pelancong asing dari Amerika Syarikat (AS), Ireland dan Russia dihantar pulang selepas mereka ditangkap tidak memakai pelitup muka di khalayak ramai.

Pada Mei lalu, seorang selebriti media sosial Russia dan YouTuber Taiwan yang berpangkalan di AS dihantar pulang selepas menyiarkan video di mana mereka dilihat berjalan-jalan di sekitar Bali dengan hanya mengecat pelitup muka saja.

Indonesia dilanda pandemik COVID-19 yang buruk dan sehingga semalam saja, lebih 4.2 juta jangkitan kes COVID-19 disahkan termasuk lebih 144,000 kematian.

Di Bali saja dilaporkan lebih 110,000 kes dengan lebih 4,000 kematian yang disahkan.

Dengan kadar vaksinasi yang agak rendah, negara ini kekal terdedah kepada wabak baharu, terutama varian Omicron yang lebih mudah berjangkit dan kini merekodkan kes tinggi di Eropah.

Malah, menurut data kerajaan, terdapat 68 kes Omicron yang disahkan di Indonesia setakat ini. - AFP

Berita Harian X