Ahad, 26 Disember 2021 | 11:10am
Pelancong asing tiba di Lapangan Terbang Bangkok, Thailand, yang terpaksa melaksanakan semula kuarantin terhadap semua pengunjung ke negara itu. - Foto EPA
Pelancong asing tiba di Lapangan Terbang Bangkok, Thailand, yang terpaksa melaksanakan semula kuarantin terhadap semua pengunjung ke negara itu. - Foto EPA

Thailand lapor kelompok Omicron COVIDd-19 pertama

BANGKOK: Thailand kelmarin melaporkan kelompok jangkitan COVID-19 varian Omicron domestik pertamanya di wilayah Kalasin di timur laut Thailand.

Jurucakap pasukan petugas COVID-19 negara itu, Apisamai Srirangsan, berkata daripada kluster Kalasin, terdapat 21 jangkitan baru.

"Jangkitan berpunca daripada pasangan yang melakukan perjalanan dari Belgium melalui skim Test & Go negara itu, yang mengecualikan kuarantin untuk ketibaan pengunjung sudah divaksin.

"Kedua-duanya diuji negatif COVID-19 sebelum melakukan perjalanan dan selepas tiba di Thailand pada awal Disember.

"Menjelang 15 Disember, mereka mula mengalami simptom dan diuji positif dan kemudiannya disahkan mempunyai varian Omicron," katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika ibu kota Thailand, Bangkok, membatalkan semua sambutan Tahun Baru tajaan kerajaan.

Acara bunga api yang dianjurkan oleh pusat beli-belah masih diteruskan dan pengunjung memerlukan bukti vaksinasi dan keputusan ujian antigen.

Kementerian kesihatan juga sebelum ini berkata ia akan memperkenalkan dos penggalak keempat untuk kakitangan perubatan.

Sejauh ini, Thailand mempunyai 205 jangkitan varian Omicron, kebanyakannya dalam kalangan ketibaan asing dan daripada jumlah itu, 25 orang dijangkiti Omicron dalam kalangan mereka yang datang dari luar negara.

Kelompok lain sedang disiasat di selatan negara itu, kata pegawai kanan kesihatan, Supakit Sirilak, pada satu taklimat berita berasingan.

"Negara ini melaporkan penularan tempatan pertama varian terbabit Isnin lalu dan kemudian melaksanakan kembali kuarantin untuk ketibaan asing termasuk pelancong yang sudah divaksin.

"Program 'Sand-Box' yang menghendaki pengunjung tinggal di pulau peranginan Phuket selama tujuh hari kekal dilaksanakan.

"Kita harus mengikuti langkah-langkah perlindungan dengan teliti dan memperlahankan penularan itu sebanyak mungkin," kata Supakit.

Thailand melaporkan sejumlah 2.2 juta jangkitan COVID-19 yang disahkan dan 21,528 kematian.

Sekitar 62 peratus daripada anggaran 72 juta orang yang tinggal di negara itu sudah menerima dua dos vaksin. - AGENSI

Berita Harian X