Sabtu, 25 Disember 2021 | 3:33pm
Naib Presiden Filipina, Leni Robredo (dua dari kiri) meninjau sebuah kampung di bandar Bais, wilayah Negros Oriental, yang dilanda taufan, - Foto EPA
Naib Presiden Filipina, Leni Robredo (dua dari kiri) meninjau sebuah kampung di bandar Bais, wilayah Negros Oriental, yang dilanda taufan, - Foto EPA

Mangsa taufan mengharapkan tempat berteduh, makanan sambut Krismas

ALEGRIA, FILIPINA: Puluhan mangsa Taufan Rai yang terselamat menyambut perayaan Krismas di gereja San Isidro Labrador Parish di bandar Alegria, di hujung utara pulau Mindanao dengan mengharapkan kediaman baharu, makanan dan cuaca baik.

Pada sambutan itu, paderi Ricardo Virtudazo di gereja yang turut terjejas akibat taufan terbabit mengagih-agihkan hadiah kepada penganut Kristian di situ.

Taufan Rai turut merosakkan lantai berjubin di gereja itu selain menerbangkan bahagian bumbungnya dan dalam keadaan hujan renyai, penganut Kristian berkumpul di rumah ibadat itu bagi sama-sama menyambut Krismas.

Taufan Rai yang melanda Filipina lebih seminggu lalu mengorbankan hampir 400 orang dengan ratusan lagi mangsa kehilangan tempat tinggal mengharapkan bantuan daripada keluarga masing-masing selepas semua persiapan menyambut Krismas musnah.

Dalam keadaan sambutan yang serba kekurangan itu, Virtudazo berkata, masih ada harapan buat mereka nanti.

"Walaupun ditimpa musibah, mereka tetap teguh dengan kepercayaan terhadap Tuhan," katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang menyertai sambutan Krismas di gereja itu, Joy Parera, 31, berkata apa yang penting adalah dirinya bersama suami selamat daripada bencana terbabit.

Pulau Mindanao, Siargao, Dinagat dan Bohol adalah antara kawasan paling teruk terjejas akibat ribut itu, yang menyebabkan bekalan elektrik terputus, kediaman musnah, tiang elektrik konkrit dan pokok tumbang.

Usaha mengagihkan bantuan berdepan kesukaran ekoran kerosakan yang teruk, gangguan isyarat telefon bimbit dan internet selain dana kerajaan yang terhad selepas banyak peruntukkan disalurkan buat COVID-19 sebelum ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nardel Vicente, 38, berkata permintaan Krismasnya hanyalah mengharapkan seseorang mampu membantunya mendapatkan kediaman baharu selepas rumahnya musnah dibadai taufan itu pada 16 Disember lalu.

Dengan kehilangan pekerjaan dan hanya sedikit wang dimiliki, Vicente berkata, keluarganya tidak dapat menyediakan menu perayaan tahun ini berbanding tahun lalu di mana sambutan meriah dengan makanan.

"Namun apa yang lebih penting kami selamat... ia lebih baik daripada menyambut Krismas dengan kehilangan orang tersayang," katanya. - AFP

Berita Harian X