Selasa, 14 Disember 2021 | 7:21am
Foto hiasan - AFP
Foto hiasan - AFP

Varian Omicron: Thailand segerakan dos penggalak

BANGKOK: Thailand akan mengurangkan separuh sela masa antara dos kedua dan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada tiga bulan dalam usaha negara itu meningkatkan imuniti terhadap varian Omicron, menurut pegawai kesihatan.

Negara itu yang menjangkakan penyebaran tempatan varian Omicron mengesan lapan kes import bagi varian berkenaan tetapi masih belum mengesan dalam penularan komuniti, menurut kementerian kesihatannya.

Omicron kini dilaporkan di puluhan negara di dunia.

"Oleh kerana penularan Omicron kini meluas, suntikan penggalak akan membantu mengurangkan keseriusan gejala dan kadar kematian," kata jurucakap pasukan petugas COVID-19 Thailand, Taweesin Wisanuyothin.

Taweesin berkata penerima suntikan kedua pada Ogos atau September boleh mendapatkan dos penggalak segera di mana-mana pusat vaksin di seluruh negara.

Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom pada Jumaat berkata dos penggalak memulihkan perlindungan secara signifikan terhadap penyakit ringan yang disebabkan oleh varian Omicron, dalam penemuan awal daripada analisis dunia nyata.

Lebih 43 juta orang atau 60 peratus penduduk di Thailand menerima dua dos vaksin COVID-19, yang mana 4.1 juta daripadanya menerima dos penggalak. - AGENSI

Berita Harian X