Sabtu, 11 Disember 2021 | 4:07pm
Ketua delegasi Thailand, Jeneral Wanlop Rugsanaoh, ke rundingan damai selatan Thailand yang akan diadakan di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
Ketua delegasi Thailand, Jeneral Wanlop Rugsanaoh, ke rundingan damai selatan Thailand yang akan diadakan di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Rundingan damai selatan Thailand di Kuala Lumpur bulan depan

PATTANI: Rundingan damai selatan Thailand yang tertangguh akibat pandemik COVID-19 akan diadakan secara bersemuka di Kuala Lumpur bulan depan.

Rundingan antara wakil kerajaan Thailand, diterajui ketua perunding, Jeneral Wanlop Rugsanaoh, dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) hanya diadakan secara maya ketika pandemik.

"Rundingan secara bersemuka tergendala apabila sempadan Thailand dan Malaysia ditutup akibat pandemik COVID-19.

"Memandangkan keadaan semasa COVID-19 semakin pulih, saya dan delegasi akan menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur," katanya.

Tambah Wanlop, beliau sendiri akan turun padang mendengar cadangan dan maklum balas akar umbi termasuk daripada pihak berkepentingan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

"Semua cadangan yang dikemukakan akan dibawa ke meja rundingan akan datang," katanya.

Wanlop menegaskan, Thailand akan mencari penyelesaian secara damai dan berkekalan untuk menamatkan konflik selama beberapa dekad di wilayah bergolak di selatan.

Sebelum ini, rundingan damai antara BRN dan Thailand diadakan di Kuala Lumpur pada Januari dan awal Mac 2020, yang membawa harapan baharu untuk menamatkan keganasan di selatan Thailand.

Bekas Ketua Polis Negara (IGPP) Malaysia, Tan Sri Rahim Mohd Noor, bertindak sebagai fasilitator.

Kitaran keganasan tanpa henti di selatan Thailand bermula pada 2004 di empat wilayah iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, yang sehingga kini mengorbankan 7,000 nyawa. - BERNAMA

Berita Harian X