Rabu, 8 Disember 2021 | 9:52pm
Gambar fail menunjukkan usahawan Thailand, Premchai Karnasuta, di Mahkamah Jenayah Bangkok, Thailand tahun lalu. Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak dan dia kini menjalani hukuman penjara tiga tahun dua bulan. - Foto EPA
Gambar fail menunjukkan usahawan Thailand, Premchai Karnasuta, di Mahkamah Jenayah Bangkok, Thailand tahun lalu. Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak dan dia kini menjalani hukuman penjara tiga tahun dua bulan. - Foto EPA

Usahawan Thailand buru hidupan liar dipenjara 3 tahun

BANGKOK: Seorang usahawan Thailand, Premchai Karnasuta, yang dituduh memburu hidupan liar secara haram di taman negara pada 2018 gagal dalam dalam rayuan terakhirnya, hari ini.

Mahkamah Agung mengekalkan keputusan bersalah dan hukuman tiga tahun dua bulan serta turut diperintahkan membayar 2 juta baht (RM252,284) bersama dua defendan lain sebagai pampasan.

Kes yang memakan masa terlalu lama itu sekali gus turut mengundang kemarahan orang ramai yang mendakwa golongan elit sering dapat mengelak hukuman walaupun bersalah.

Premcai ditahan pada Februari 2018 oleh pegawai taman negara dan menemui senjata api, bangkai haiwan termasuk burung kuang kalij, seekor rusa muntjac merah dan belulang harimau akar di tapak perkhemahannya.

Namun dia didapati tidak bersalah memiliki bangkai harimau bintang tetapi disabitkan atas tiga pertuduhan lain berkaitan pemburuan haram dan dihukum penjara 16 bulan, yang kemudian ditambah kepada tiga tahun oleh Mahkamah Rayuan.

Menurut pejabat Peguam Negara, hukuman Premchai tidak akan ditangguhkan dan dia dihantar ke penjara daerah Thong Pha Phum.

Firma Premchai, Italian-Thai Development Company, membangunkan projek infrastruktur utama seperti laluan kereta api Bangkok dan lapangan terbang Suvarnabhumi.

Dia dan adik perempuannya berada dalam senarai 50 Terkaya Forbes di Thailand sehingga 2016 dengan anggaran kekayaan AS$630 juta (RM2.6 bilion) pada masa itu, tetapi kini kedudukan mereka sudah merosot. - AFP

Berita Harian X