Selasa, 7 Disember 2021 | 1:51pm
Gambar diedarkan Televisyen Kebangsaan Kemboja (TVK) menunjukkan pertemuan antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen (kanan) dan Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin (kiri) di Istana Keamanan di Phnom Penh. - Foto AFP
Gambar diedarkan Televisyen Kebangsaan Kemboja (TVK) menunjukkan pertemuan antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen (kanan) dan Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin (kiri) di Istana Keamanan di Phnom Penh. - Foto AFP

PM Kemboja mahu bekerjasama dengan junta Myanmar

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, mahu bekerjasama dengan rejim tentera Myanmar, sekali gus mengambil pendirian bertentangan dengan negara ASEAN lain berhubung isu itu.

Pemimpin dalam blok dianggotai 10 negara itu bergelut menguruskan isu di Myanmar susulan rampasan kuasa pada Februari lalu, dengan kumpulan pemantau tempatan mendakwa lebih 1,300 individu dibunuh oleh pasukan keselamatan sejak itu.

Junta tidak membenarkan utusan khas ASEAN untuk bertemu dengan pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, menyebabkan blok itu enggan menjemput ketua tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, menyertai persidangan ASEAN tahun ini.

Namun, Hun Sen berikrar negara itu yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, akan bekerjasama dengan pemimpin tentera Myanmar.

"Esok (hari ini), saya akan bertemu dengan menteri luar Myanmar bagi mewakili Kemboja. Kemungkinan besar saya akan ke Naypyidaw untuk bertemu Jeneral Min Aung Hlaing untuk bekerjasama dengannya.

"Hanya ada satu jalan, iaitu bekerjasama dengan pemimpin (Myanmar)," katanya ketika berucap semalam.

Mengulas lanjut, Hun Sen turut memaklumkan ketua junta itu berhak untuk menghadiri sidang ASEAN.

"Jika ada persidangan, kita perlu menjemput semua pihak. Jika sidang itu membabitkan pemimpin, kita jemput pemimpinnya," katanya.

Perdana Menteri Kemboja berusia 69 tahun itu adalah antara pemimpin paling lama di dunia dan pengkritik menyifatkan pentadbirannya mengekalkan pemerintahan kuku besi dengan memenjarakan aktivis pembangkang dan menutup mulut penentangnya.

Junta Myanmar mempertahankan rampasan kuasanya dengan mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya tahun lalu.

Suu Kyi kini berdepan beberapa pertuduhan yang boleh menyebabkan beliau dipenjara selama puluhan tahun jika disabit kesalahan.

Semalam, mahkamah junta menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada Suu Kyi atas kesalahan menghasut dan melanggar peraturan COVID-19. - AFP

Berita Harian X