Isnin, 6 Disember 2021 | 4:46pm
Konvoi kenderaan menunggu ketibaan warga Thailand yang terkandas di pusat pemeriksaan kastam di wilayah selatan Thailand Narathiwat di sempadan Thailand-Malaysia pada 18 April 2020, sebagai sebahagian daripada langkah tegas untuk menghentikan penyebaran COVID-19. - Foto AFP
Konvoi kenderaan menunggu ketibaan warga Thailand yang terkandas di pusat pemeriksaan kastam di wilayah selatan Thailand Narathiwat di sempadan Thailand-Malaysia pada 18 April 2020, sebagai sebahagian daripada langkah tegas untuk menghentikan penyebaran COVID-19. - Foto AFP

Thailand pertimbang buka sempadan dengan Malaysia

BANGKOK: Thailand akan mempertimbangkan pembukaan semula sempadan dengan Malaysia, seperti dicadangkan ahli Parlimen dari wilayah selatan.

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) yang mengendalikan perkembangan di wilayah selatan dijangka membincangkan perkara itu sebelum keputusan dimuktamadkan, minggu ini.

Berdasarkan laporan Bangkok Post, jurucakap timbalan kerajaan, Rachada Dhnadirek, berkata CCSA sebelum ini mencapai persetujuan secara prinsip berhubung cadangan berkenaan dan mengarahkan supaya pusat kawalannya mengkaji butiran berkaitan.

Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan dikaji semula susulan perkembangan di Malaysia yang merekodkan kes pertama Omicron, membabitkan seorang pelajar asing yang pulang dari Afrika Selatan.

"Pusat kawalan akan membincangkan cadangan pembukaan semula sempadan dan mengemukakan perkara ini kepada CCSA untuk pertimbangan sewajarnya dalam mesyuarat Isnin depan," katanya.

Rachada berkata, Kerajaan Thailand berhasrat untuk membuka semula sempadan Thailand-Malaysia dan CCSA sebelum ini mengadakan pertemuan pada 26 November lalu bagi menilai situasi COVID-19 di lima wilayah dekat selatan, iaitu Songkhla, Satun, Narathiwat, Yala dan Pattani, dengan pelan pembukaan semula laluan sempadan pada 16 Disember.

Katanya, laluan sempadan yang pada asalnya dibuka semula termasuk Sa Dao di Songkhla, Sungai Kolok di Narathiwat, Betong di Yala dan Wang Prachan di Satun.

"Bagaimanapun, CCSA akan mencapai kata putus mengenai perkara ini dalam mesyuarat Isnin depan.

"Menteri Luar Thailand sudah memaklumkan pihak berkuasa Malaysia berhubung perkembangan berkenaan.

"Pembukaan semula sempadan Thailand-Malaysia dijangka berupaya menghidupkan semula industri pelancongan dan memacu pemulihan ekonomi di wilayah selatan," katanya.

Rachada juga berkata, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Awam yang bertanggungjawab terhadap situasi di Songkhla, Satun, Trang, Phatthalung, Pattani, Yald dan Narathiwat, sudah mengesahkan bahawa varian Omicron belum dikesan di wilayah selatan negara terbabit.

Ahli Parlimen Demokrat untuk Songkhla, Pol Maj Gen Surin Palare, ialah antara yang mengemukakan cadangan supaya sempadan Thailand-Malaysia dibuka semula.

Beliau berkata, sempadan sudah ditutup hampir dua tahun berikutan COVID-19, sekali gus mengundang masalah dalam kalangan pekerja Thailand yang terkandas di Malaysia.

Hal itu secara tidak langsung mencetuskan masalah kemasukan secara haram dan menyebabkan penularan jangkitan COVID-19.

"Pembukaan semula sempadan akan merungkai masalah sedemikian dan membantu mengembalikan semula pelancong dari Malaysia serta menghidupkan semula ekonomi tempatan," katanya.

Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Gabenor Yuthasak Supasorn, berkata, pola kemasukan pelancong ke Thailand tidak menunjukkan petanda yang perlahan meskipun dengan kemunculan varian Omicron.

"Tiada laporan mengenai pelancong asing yang membatalkan perjalanan mereka ke Thailand setakat ini dan varian baharu itu tidak menjejaskan sentimen pelancongan," katanya.

Bangkok Post juga melaporkan bahawa TAT sudah menetapkan sasaran kemasukan pelancong asing seramai 600,000 orang bagi tempoh dua bulan terakhir tahun ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam, hari ini melaporkan Thailand merekodkan 4,000 kes baharu COVID-19 dan 22 kes kematian baharu, semalam. - AGENSI

Berita Harian X