Khamis, 25 November 2021 | 4:54pm
Aktivis mengambil bahagian dalam protes di Surabaya menentang Undang-Undang Cipta Kerja kerajaan Indonesia pada 25 Ogos 2020. - Foto AFP
Aktivis mengambil bahagian dalam protes di Surabaya menentang Undang-Undang Cipta Kerja kerajaan Indonesia pada 25 Ogos 2020. - Foto AFP

Mahkamah Indonesia arah Jokowi semak Undang-Undang Cipta Kerja

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) mesti meminda sebahagian daripada Undang-Undang Cipta Kerja yang diperkenalkannya, yang bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan merombak peraturan pelaburan, menurut mahkamah perlembagaan.

Perubahan mesti dilakukan dalam tempoh dua tahun atau undang-undang akan dianggap tidak berperlembagaan, kata Anwar Usman, Ketua Hakim di mahkamah perlembagaan, selepas keputusan hari ini.

Panel hakim menolak gesaan supaya keseluruhan undang-undang itu dibatalkan dan undang-undang masih berkuat kuasa sehingga semakan dibuat.

Mahkamah tidak menjelaskan perubahan yang diarahkan.

Rang undang-undang itu telah dilanda kontroversi sejak pertama kali diumumkan pada 2019, dengan pekerja dan pelabur membangkitkan kebimbangan terhadap hak pekerja dan perlindungan alam sekitar.

Jokowi bergantung pada undang-undang untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan membawa masuk pelaburan yang akan mewujudkan pekerjaan, termasuk melalui dana kekayaan baharu yang termasuk dalam peraturan itu.

Kerajaan akan mematuhi ketetapan dan meminda undang-undang, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto, dalam taklimat akhbar hari ini.

Sementara itu, kerajaan akan terus menguatkuasakan undang-undang sambil tidak mengeluarkan sebarang peraturan pelaksanaan strategik selaras dengan perintah mahkamah, tambahnya.

Keputusan mahkamah perlembagaan tidak boleh dirayu. - BLOOMBERG

Berita Harian X