Rabu, 15 September 2021 | 9:41am
Pemandangan bandaraya Bangkok, Thailand. - Foto AFP
Pemandangan bandaraya Bangkok, Thailand. - Foto AFP

Thailand lulus pelan tarik sejuta hartawan warga asing

BANGKOK: Thailand semalam meluluskan beberapa langkah termasuk melonggarkan dasar imigresen dan menawarkan faedah cukai bertujuan menarik sejuta juta rakyat asing yang 'berpotensi tinggi' dalam tempoh lima tahun.

Jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana, berkata Kabinet semalam secara dasarnya meluluskan langkah untuk menarik warga asing termasuk mereka yang kaya-raya, pesara, pekerja jarak jauh dan profesional berkemahiran tinggi untuk tinggal lebih lama di Thailand.

"Kerajaan menjangkakan kumpulan ini menghasilkan 1 trilion baht dari 2022 hingga 2026. Ia juga menyediakan pelaburan 800 bilion baht dan 270 bilion baht dalam pungutan cukai," katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Thanakorn berkata, visa jangka panjang akan ditawarkan kepada rakyat asing 'berpotensi tinggi' dan dikecualikan daripada perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa imigresen setiap 90 hari.

Langkah lain termasuk semakan peruntukan yang membolehkan orang asing memiliki hartanah, dibenarkan bekerja untuk majikan dari dalam dan luar negara serta menikmati pengecualian cukai dan kastam, katanya.

"Kabinet juga meluluskan cadangan Pejabat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) untuk menilai pelan itu setiap lima tahun. Manfaat cukai dan hak milik tanah akan berakhir selepas lima tahun," katanya.

Sementara itu, Kabinet juga meluluskan 946 juta baht untuk Persatuan Palang Merah Thailand membeli satu juta dos vaksin COVID-19 Moderna.

Timbalan jurucakap kerajaan, Traisulee Traisaranakul berkata, vaksin itu akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi dan golongan rentan secara percuma.

Bangkok Post melaporkan bahawa Zuellig Pharma, pengedar sah Moderna di Thailand, mengenakan bayaran 940 baht (RM127) bagi setiap dos vaksin berkenaan.

Dengan kos pengangkutan 26.75 baht (RM3.60) bagi setiap dos, harga setiap dos vaksin adalah 966.75 baht (RM130.60). - BERNAMA

Berita Harian X