Khamis, 8 April 2021 | 12:02pm
 Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi). - Foto EPA
Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi). - Foto EPA

Jokowi selar negara kaya bolot vaksin COVID-19

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), menyelar negara kaya kerana hanya mementingkan program pelalian nasional, sekali gus menjejaskan pengagihan saksama bekalan vaksin COVID-19 global.

Katanya, tindakan itu akan melengahkan usaha membendung penularan pandemik selain mencetuskan risiko kewujudan varian baharu coronavirus itu.

"Kita mesti memberi akses vaksin kepada semua, negara miskin, membangun dan maju harus diberikan layanan yang sama, jika tidak, wabak tidak akan berakhir," katanya dalam satu wawancara.

Walaupun hampir 700 juta dos sudah diagihkan ke seluruh dunia, sebilangan besar bekalan hanya terhad kepada negara kaya dan negara penghasil vaksin.

Kesatuan Eropah (EU) cuba menyekat eksport vaksin, sementara negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) memperoleh pesanan dos melebihi keperluan sebenar berbanding jumlah penduduk mereka.

Sementara itu, inisiatif COVAX Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghantar vaksin ke negara membangun ditangguhkan berikutan pembiayaan yang perlahan.

Pada masa sama, bekalan juga terjejas kerana pengeluar vaksin seperti India kini mengutamakan keperluan domestik.

Bagi Indonesia, yang sudah menerima kira-kira 13.5 juta dos vaksin, program nasionalisme vaksinnya tertangguh berikutan hanya akan menerima 20 juta dos vaksin dan bukannya 30 juta yang diharapkan pada Mac dan April ini.

Awal tahun ini, Jokowi menetapkan sasaran untuk pemerintah memberikan sejuta dos setiap hari, sekali gus mencapai kekebalan bagi 270 juta penduduknya.

Jumlah itu meningkat kepada 780,000 sehari pada Mac lalu sebelum berkurangan kepada kira-kira 500,000 baru-baru ini dan mungkin kurang lagi apabila bekalan tidak mencukupi pada bulan seterusnya, sebelum meningkat pada Julai ini.

"Tidak ada masalah program inokulasi di lapangan, yang ada hanya isu bekalan vaksin.

"Tiada gunanya negara menyimpan vaksin jika virus tetap ada dan jangkitan akan terus menular," katanya. - AGENSI

Berita Harian X