Khamis, 8 April 2021 | 11:46am
Pengasas bersama ImmunoScape, Michael Fehlings (kiri) dan Dr Alessandra Nardin. - Foto IMMUNOSCAPE
Pengasas bersama ImmunoScape, Michael Fehlings (kiri) dan Dr Alessandra Nardin. - Foto IMMUNOSCAPE

Singapura kaji imuniti penerima vaksin COVID-19

SINGAPURA: Saintis di republik ini akan mengkaji kesan antibodi pada individu yang sudah disuntik vaksin COVID-19, bermula bulan depan.

Kajian merangkumi bagaimana bagaimana sel T, sebuah komponen kritikal dalam sistem imun, bertindak balas melawan jangkitan coronavirus dalam individu yang sudah divaksin.

Sel T adalah sejenis sel darah putih yang bekerjasama dengan antibodi untuk membasmi virus Sars-CoV-2 itu, yang menyebabkan COVID-19.

Firma bioteknologi tempatan, ImmunoScape, sedang bekerjasama dengan dua syarikat vaksin untuk merekrut lebih 70 individu yang divaksin untuk kajiannya di sini.

Menurut akhbar tempatan, salah satu syarikat itu adalah Arcturus Therapeutics, syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS).

Mereka bekerjasama dengan saintis Sekolah Perubatan Duke-NUS untuk membangunkan vaksin COVID-19 buatan Singapura manakala sebuah lagi syarikat berpusat di Eropah.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Operasi ImmunoScape, Dr Alessandra Nardin, berkata maklumat daripada kajian akan membantu mereka melengkapi data mengenai tindak balas antibodi.

"Ini seterusnya membantu kami memahami sama ada tindak balas imun yang disebabkan oleh vaksin mungkin berkesan terhadap varian baru," katanya.

ImmunoScape ingin mendapatkan sekitar 250 sampel darah daripada individu yang sudah divaksin, dengan setiap orang memberikan sampel sebelum dan selepas menerima vaksin.

Sampel juga akan diambil secara berkala selepas individu itu divaksin termasuk daripada individu di dalam dan luar negara.

Jumlah sel T yang dihasilkan sebagai tindak balas terhadap vaksin itu dan berapa lama ia kekal di dalam badan akan dipantau dari masa ke semasa. - AGENSI

Berita Harian X