Sabtu, 27 Februari 2021 | 9:55pm
- Foto www.news.cn
- Foto www.news.cn

China, Singapura sertai latihan ketenteraan bersama di Laut China Selatan

SINGAPURA: Latihan ketenteraan bersama China dan Singapura di Laut China Selatan menunjukkan kedua-dua negara bersedia menangani sebarang risiko serta cabaran di perairan berkenaan.

Penyelidik Tentera China menyatakan tindakan kedua-dua negara itu juga menunjukkan tekad untuk mempertahankan keamanan dan kestabilan serantau.

Media China, pada Khamis lalu, melaporkan sekumpulan kapal Tentera Laut China menyertai latihan ketenteraan bersama dengan Tentera Laut Singapura di perairan dekat Singapura.

Kementerian Pertahanan Singapura pada hari yang sama mengesahkan tentera laut negara itu dan China melakukan latihan bersama di perairan antarabangsa di hujung selatan Laut China Selatan.

Tujuan latihan ini adalah bagi meningkatkan persefahaman dan mengeratkan persahabatan kedua-dua negara ketika berhadapan pandemik COVID-19.

Media China melaporkan kapal pemusnah peluru berpandu Guiyang dan kapal perang peluru berpandu Zaozhuang, sebahagian daripada Pasukan Petugas ke-36, turut serta dalam latihan maritim bersama.

Kapal Singapura pula membawa bersama pesawat stealth RSS Intrepid dan kapal misi pesisir pantai kelas Kemerdekaan dan RSS Sovereignty.

Latihan itu merangkumi operasi komunikasi, gerakan formasi serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama.

Pada masa yang sama, tentera laut British dan Perancis menghantar kapal perang ke Laut China Selatan sebagai tindak balas kepada latihan tentera China-Singapura dengan alasan 'kebebasan navigasi'.

Difahamkan, ia bertujuan untuk 'menunjukkan kekuatan, menguraikan kekusutan dan menyelesaikan masalah di rantau ini bagi memperluaskan pengaruh'.

Jelas sekali tindakan balas dan provokatif oleh beberapa negara di luar rantau tidak disukai negara di rantau ini dan secara terang-terangan menentang tindakan itu serta sama sekali tidak mahu mengikuti tindakan sama - AGENSI

Berita Harian X