Jumaat, 22 Januari 2021 | 6:27pm
Waris mangsa pesawat Sriwijaya Air SJ182 yang terhempas di Laut jawa menabur bunga dari kapal hospital tentera laut KRI Semarang di lokasi nahas. - Foto EPA
Waris mangsa pesawat Sriwijaya Air SJ182 yang terhempas di Laut jawa menabur bunga dari kapal hospital tentera laut KRI Semarang di lokasi nahas. - Foto EPA

Sistem pendikit automatik mungkin punca pesawat Sriwijaya Air terhempas

JAKARTA: Penyiasat kemalangan pesawat Indonesia sedang menyiasat masalah membabitkan sistem pendikit automatik yang berfungsi mengawal kuasa enjin secara automatik.

Seorang pegawai memaklumkan, masalah itu menyumbang kepada kemalangan pesawat Sriwijaya Air yang terhempas pada 9 Januari lalu, mengakibatkan 62 orang maut.

Penyiasat Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT), Nurcayho Utomo, berkata satu masalah dengan sistem pendikit automatik pesawat jenis Boeing 737-500 dilaporkan selepas penerbangan beberapa sebelum kemalangan itu.

"Terdapat satu laporan pendikit automatik tidak berfungsi beberapa hari sebelum itu kepada juruteknik di log penyelenggaraan, tetapi kami tidak tahu apa masalahnya.

"Jika kami menjumpai CVR (Perakam Suara Kokpit), kami boleh mendengar perbincangan antara juruterbang mengenai apa yang mereka katakan dan kami tidak tahu apa masalah," katanya.

Bagaimanapun, Utoma berkata masih samar sama ada masalah dengan sistem pendikit automatik yang mengakibatkan insiden berkenaan.

Menurut Otomo, beliau juga tidak dapat mengingati masalah lain yang dibangkitkan dalam log penyelenggaraan.

Jelasnya, tidak apa untuk sesebuah pesawat melakukan penerbangan tanpa sistem pendikit automatik tidak berfungsi kerana juruterbang boleh mengawalnya secara manual.

Sementara itu, syarikat penerbangan Sriwijaya tidak dapat memberi komen mengenai hal berkaitan teknikal membabitkan siasatan sebelum satu kenyataan rasmi dikeluarkan KNKT.

Laporan awal mengenai siasatan itu dijangka dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas kemalangan itu, sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Perakam Data Pesawat (FDR) sudah pun ditemui dan diteliti oleh penyiasat, namun operasi pencarian di laut masih dijalankan untuk mencari unit memori CVR yang terhempas di Laut Jawa.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Budi Karya Sumadi, berkata selepas beberapa pertimbangan dibuat, pihaknya semalam memutuskan akan menutup operasi mencari dan menyelamat.

"Bagaimanapun, kami komited untuk terus berusaha mencari perakam suara kokpit," katanya.

Setakat ini, 43 mangsa sudah dikenalpasti dari lebih 300 beg berisi mayat yang dihantar ke unit pengecaman mangsa bencana Polis Kebangsaan. - AGENSI

Berita Harian X