Selasa, 27 Oktober 2020 | 9:56pm
Benny Tjokrosaputro dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Pencegah Rasuah Jakarta berikutan skandal rasuah dalam syarikat insurans negara, Jiwasraya. - Foto ANTARA
Benny Tjokrosaputro dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Pencegah Rasuah Jakarta berikutan skandal rasuah dalam syarikat insurans negara, Jiwasraya. - Foto ANTARA

Ahli perniagaan Benny Tjokrosaputro dikenakan hukuman penjara seumur hidup

JAKARTA: Broker saham terkenal, Benny Tjokrosaputro dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Pencegah Rasuah Jakarta semalam, berikutan skandal rasuah dalam syarikat insurans negara, Jiwasraya sehingga membimbangkan sistem kewangan negara itu.

Seramai enam defendan dalam kes itu turut dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, menjadikannya perbicaraan anti-rasuah yang paling sukar dalam sejarah.

Panel hakim percaya Benny memainkan peranan utama dalam menipu syarikat milik negara untuk pelaburan yang buruk demi keuntungan peribadinya.

Benny juga diperintahkan untuk mengembalikan wang yang dicuri bernilai Rp 6 trilion (RM1.7 bilion) ke negara itu atau jika gagal hartanya akan dirampas.

Hukuman untuk Ketua Eksekutif Syarikat Pelaburan Hanson International itu sudah dijangka secara meluas kerana beberapa defendan lain dalam kes yang sama sebelum ini turut dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Panel hakim mengatakan bahawa kes rasuah dan penggubahan wang haram di Jiwasraya menyebabkan kerugian besar sehingga Rp 16.8 trilion kepada negara.

"Dengan itu, tertuduh didakwa bersalah tanpa keraguan munasabah mengenai rasuah dan pengubahan wang haram," kata Hakim Ketua Rosmina ketika membacakan keputusan itu.

Panel itu mengatakan Benny melakukan jenayah terancang selama bertahun-tahun untuk mencuri wang dari Jiwasraya dan tindakannya itu mencemarkan reputasi pasaran modal Indonesia dan menghakis kepercayaan masyarakat terhadap industri insurans, selain memalsukan kad pengenalan untuk membuat pelaburan palsu.

Benny melakukan manipulasi pasaran dengan bantuan beberapa orang lain untuk membuat penampilan saham secara tiruan dan kemudian meyakinkan Jiwasraya bahawa ia bernilai untuk dibeli.

Benny dan rakannya dikatakan menggunakan cara yang tidak sah untuk menaikkan harga saham di beberapa syarikat, termasuk Hanson International yang mana Benny adalah presiden/ketua pengarah syarikat perlombongan SMR Utama, syarikat perkapalan Trada Alam Minera dan beberapa syarikat lain.

Rakan jenayahnya adalah ketua pesuruhjaya Trada Alam Minera, Heru Hidayat di mana mahkamah sudah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dalam perbicaraan yang berasingan. - AGENSI

Berita Harian X