Isnin, 26 Oktober 2020 | 9:55pm
Duta besar Filipina ke Brazil, Marichu Mauro. - Foto Facebook
Duta besar Filipina ke Brazil, Marichu Mauro. - Foto Facebook

Duta besar Filipina ke Brazil diarah pulang

MANILA: Filipina hari ini mengarahkan duta besarnya ke Brazil pulang selepas tersebar rakaman video memaparkan individu itu menganiaya seorang pembantu rumah warga negara itu.

Marichu Mauro yang bertugas di Brazil pada 2018 selain mempunyai bidang kuasa di Colombia, Guyana, Surinam dan Venezuela sedang disiasat, menurut Kementerian Luar.

"Jabatan Hal Ehwal Luar mengarahkan Duta Besar Filipina ke Brazil segera pulang selepas tersiar rakaman video yang menunjukkan beliau menengking dan menganiaya pembantu rumah," mengikut kenyataan.

Pengumuman itu dibuat selepas GloboNews di Brazil menyiarkan rakaman kamera keselamatan yang menunjukkan Mauro berulang kali menyerang seorang wanita, iaitu pembantu rumahnya.

GloboNews melaporkan wanita itu bekerja di kediaman rasmi duta besar di Brasilia, Brazil.

Gambar berkenaan bertarikh Mac hingga Oktober digunakan sebagai bukti dalam aduan yang dibuat terhadap Mauro pada hujung Ogos lalu.

Menurut Kementerian Luar, kakitangan itu meninggalkan Brazil minggu lalu dan kembali ke Filipina di mana pihak berkuasa akan meminta kerjasama bagi kes berkenaan.

Berjuta-juta warga Filipina bekerja di luar negara dan wang diperolehi dikirim pulang untuk memacu ekonomi tempatan kerana masih ramai yang hidup dalam kemiskinan teruk, walaupun negara berkenaan mengalami pertumbuhan pesat dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Penganiayaan pekerja di luar negara pernah dilaporkan pada masa lalu, namun hampir kesemua kes membabitkan majikan asing. - AFP

Berita Harian X